Wednesday, September 9, 2009

SEKOLAH DULU DAN SEKARANG

Ini cerita saya. Mungkin kita boleh jadikan sebagai satu cerita atau pengajaran. Kebelakangan ini kita sering terdengar pihak sekolah atau dengan kata lain guru adalah insan yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Guru kena tampar, kereta guru kena calar, guru penampar murid, bapa pukul guru dan macam-macam lagi berkaitan dengan guru atau cikgu yang diperkatakan. Tidakkah kita terfikir kenapa perkara ini boleh berlaku sewenang-wenangnya.

Bagi saya zaman persekolahan dulu adalah zaman yang amat menyeronokkan. Rasanya ingin juga kembali ke alam persekolahan dulu. Kata-kata guru dulu masih diingati sampai sekarang dan tindakan guru merotan, menampar, menyepak murid-murid adalah perkara biasa saja.
Tapi masa tu memang ibubapa tidak akan menyalahkan guru jika hukuman dikenakan ke atas anak-anak mereka. Kita sebagai pelajar atau murid tidak ada sedikit pun rasa dendam terhadap guru.

Saya dulu di Sekolah Kampung. Sekolah Kebangsaan Seneng, Jelawat, Kelantan. Masa tu saya ni bukannya keluarga berada. Pergi sekolah jalan kaki je. Rumah taklah jauh sangat dari sekolah. Lebih kurang 4 atau 5 KM je. Tapi kalau hari ni jalan kaki rasanya dah tak sanggup dah. Masa kat sekolah dulu, guru disiplin yang amat saya takut ialah Cikgu Ali yang juga mengajar Ilmu Hisab (Matematik). Pernah satu kali saya ni lupa bawa buku sekolah, apa lagi penendang dengan kasut kat tulang betis lah hukumannya. Sakitnya tuhan saja yang tahu. Tapi tak ada rasa dendam pun kat cikgu. Dulu mak dan ayah saya tak akan ambil tahu apa yang saya  buat kat sekolah, apa buku yang saya baca , tulis.  asalkan saya ke sekolah dan cikgu memaklumkan saya hadir ke sekolah. Tugas belajar masa tu memang terletak pada murid-murid itu sendiri disamping bantuan dan tunjuk ajar guru. Ibubapa hanya pastikan anak ke sekolah.

Saya pernah terlewat ke sekolah kerana hujan pada masa tu. Ini memang saya tak boleh lupakan. Hukuman amat menyakitkan. Bontot saya menjadi persinggahan bagi batang ubi kayu. Itulah denda yang cikgu kenakan kerana lewat. Sakitnya memang tak terkira.Tapi apa boleh buat memang silap saya. Walau apa pun hukuman yang guru kenakan, masa tu  murid-murid tak pernah rasa untuk melawan guru seperti hari ini. Pantang guru suara tinggi sikit, mesti ada yang akan dikenakan kepada cikgu. Walaupun saya nakal, tapi pepereksaan penggal kat sekolah rendah dulu memang selalu dapat antara yang terbaik jugalah dalam kelas saya tu. Masa tu juga, kat sekolah dulu-dulu seingat saya guru perempuan tak seramai guru lelaki, itu yang tahap disiplin kat sekolah dulu amat berbeza dengan sekarang. Ini bukan saya nak perkecilkan peranan guru perempuan, tapi saya rasa mesti tuan/puan faham maksud saya. Bagusnya kalau kat sekolah sekarang kalau ramai guru lelaki daripada perempuan. Kita boleh nampak perbezaan disiplin disekolah walaupun ianya bukanlah faktor penting untuk menjada displin murid-murid atau pelajar. yang jelas, ketidakseimbanagan guru lelaki dengan perempuann ini juga memainkan peranan yang penting dalam mengukur tahap displin sekolah.

Berbalik kepada cerita saya tadi. Apabila tamat sekolah rendah. Saya ke sekolah menegah. Sekolah Menengah Jelawat, Bachok. Disebabkan jarak rumah ke sekolah agar jauh.  Saya memohon  dari ayah agar dapat tinggal di asrama sekolah. Ayah masa tu memang menentang sebab dia kata saya ingin lari dari mengaji quran. Masa tu orang-orang tua dulu amat mementingkan mengaji quran kepada setiap anak. Maknanya setidak-tidaknya dapatlah digunakan untuk sembahyang dan sebagainya. Tapi hari ini ibu-bapa tidak lagi mengambil berat tentang pengajian quran anak-anak. Nasib baiklah kat sekolah sistem pembelajraan al quran kalau diperhatikan memang canggih dan senang diikuti dan  dipelajari oleh kanak-kanak sekarang. Itupun kalau yang nak belajarlah.

Masa saya kat sekolah menengah tadi, saya dah mula nakal. Belajar merokok kat asrama. Masa tu Cikgu Asrama (Penyelia) adalah Cikgu Mat Nawang. Dia ni memang saya hormatlah jugak. Yang lucunya, dia selalu suruh saya pergi beli rokok untuknya dan beliau masa tu tak tahu yang saya merokok. Masa tu memang kalau dia suruh beli rokok, mestilah ada bakinya yang diberikan kepada saya. Jadi  duit baki tadi saya gunalah untuk menghisap rokok. Dia masih tidak mengetahui saya merokok sehinggalah saya berpindah sekolah. Kalau tak saya rasa tak tahu macam mana dia akan kerjakan. Saya masih ingat kawan-kawan yang kantoi merokok tu, cikgu akan panggil semua pelajar asrama untuk melihat bagaimana pelajar atau murid tadi merokok. Pernah satu ketika kawan saya terpaksa menghisap 60 batang rokok disaksikan oleh rakan-rakan yang lain kerana ditangkap merokok. Saya yang duduk dibelakang pelajar-pelajar lain berdebar-debarlah juga takut-takut cikgu tahu yang saya juga merokok. Kesimpulannya walaupun denda yang dikenakan  keterlaluan, tapi bagi kami tidak ada perasaan dendam terhadap cikgu. Bukan seperti murid-murid atau pelajar sekarang. Itulah hikmahnya persekolahan pada masa dahulu berbanding sekarang dan cikgu dulu dan cikgu sekrang.
Pada masa dahulu walaupun nakal kami amat menghormati orang tua. Tidak sesakali akan menunjukkan perlakuan atau perkataan kurang ajar kepada orang tua walaupun orang tersebut tidak dikenali. Tapi hari ini, cuba perhatikan dengan anak-anak dan remaja-remaja kita. Di manakan letaknya rasa hormat kepada orang tua,guru dan sebagainya.

Justeru itu, siapakah yang harus dipersalahkan dalam mendidik anak-anak kita sekarang. Nakal, tak boleh ditegur dan berbagai-bagai perkara yang dilakukan yang amat memalukan. Adakah ibubapa jharus dipersalahkah atau keraaan atau masyarakat  . Apakah tindakan pihak kerajaan. Sedarkah atau tidak isu-isu pendidikan yang berlaku di negara kita. Kerana disinilah anak-anak kita dilatih bagi menjadi pemimpin dan mencorakkan negara nanti. Berbaloikah gaji yang dibayar oleh rakyat untuk dicurahkan kembali kepada rakyat. Jika tidak, sama-sama kita lakukan perubahan. Teguran yang membina jangan diabaikan. Jangan cepat melenting jika ingin melihat anak bangsa kita maju ke hadapan.

No comments:

Post a Comment