Wednesday, September 16, 2009

DASAR SOSIAL NEGARA- SELAYANG PANDANG

Melihat kepada trend peningkatan masalah sosial yang melanda hari ini amat menakutkan. Apa tidaknya, kalau dulu kejadian ragut, rompak, penagihan dadah, dan lain-lain memang berlaku tetapi tidaklah ketara seperti yang dihadapi dalam negara kita hari ini. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini.
Sebenarnya tanggungjawab menjaga keamanan dan mengawal perlakuan dan peningkatan gejala sosial ini seharusnya bukan hanya diletakkan dibahu kerajaan semata-mata tetapi kita sebagai rakyat negara ini juga seharusnya mengambil tanggungjawab bersama untuk membantu mengatasi atau mengurangkan masalah ini. Kalau dulu semangat kejiranan, perpaduan, toleransi, tolong menolong merupakan  satu amalan masyarakat kita tetapi keadaan ini semakin berubah dan terhakis disebabkan proses modenisasi yang berkembang pesat dan tidak seimbang dengan pembangunan sosial dalam negara.
Menyedari hakikat dan kebimbangan ini juga kerajaan telah mengambil langkah yang proaktif dengan menggubal satu dasar yang dikategorikan sebagai 'Dasar Payung' yang merangkumi Falsafah dan Dasar Pembangunan Sosial dengan menjadikan Perlembagaan, Rukunegara, dan Wawasan 2020 sebagai intipati utama dalam Dasar ini disamping komitmen negara di peringkat antarabangsa.
Dasar Sosial Negara (DSN) yang diperkenalkan ini adalah bertujuan untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan mantap dari segi sosial, ekonomi dan teknologi Walaupun dasar ini telah digubal lebih kurang 6 tahun yang lalu tetapi kebimbangan terhadap polarisasi dan peningkatan masalah dan isu sosial semakin meningkat dari masa ke semasa. DSN merupakan satu dasar yang dirancang secara menyeluruh dan merangkumi semua aspek tetapi apa yang amat membimbangkan ialah dari segi pengisisan terhadap program yang dirancang. Setakat manakah pembangunan seimbang diantara pembangunan ekonomi dan  kemajuan sosial telah diwujudkan. Aadakah dasar ini sebenarnya telah difahami dan dihayati sepenuhnya oleh agensi atau pihak yang bertanggungjawab. Kalau ditinjau secara rambang di peringkat negeri di dapati perlaksanaan DSN ini dibuat dengan tidak bersungguh -sungguh dan menyeluruh. Malah ada dikalangan agensi-agensi atau jabatan tertentu yang tidak faham tentang perlaksanaan dasar ini. Pada hakikatnya kebanyakan agensi-agensi pelaksana ini hanya menjalankan rutin dan kerja masing-masing tanpa mengambil kira ruang dan peluang yang digariskan dalam DSN ini.Tanggungjawab melaksanakan program dan perancangan DSN ini masih lagi tidak difahami dengan sejelas-jelasnya oleh agensi pelaksana disamping kurangnya kerjasama antara sektor awam, swasta, NGO dan ahli profesional dalam menggerakkan dasar ini. Kekurangan aspek penyelarasan dan kerjasama ini kadangkala juga boleh menyebabkan berlakunya pertindihan peranan antara agensi terbabit.
Justeru itu, semua pihak harus melihat kembali bagaimana cara untuk mengamalkan dan memastikan perlaksanaan Dasar Sosial  Negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Kerjasama antara agensi-agensi kerajaan, NGO, pihak swasta, golongan profesional dan masyarakat amnya  dapat merealisasikan matlamat Dasar Sosial Negara dan ini sudah tentu dapat mengurangkan isu dan gejala sosial dalam negara.

No comments:

Post a Comment