Friday, July 1, 2011

Hala Tuju Pelajar Sekarang: Satu Renungan

Relaxlah Bro, pekena dulu sebatang, kelas lambat lagi, alah, kita yang bayar  yuran, apa nak takut''. Itulah ayat yang saya selalu dengar daripada mulut pelajar-pelajar melayu di sebuah kolej yang agak ternama di Ibu Kota K.Lumpur berhampiran tempat keraja saya.

Kadangkala terfikir juga dibenak  saya kenapa anak melayu terlalu suka berseronok hingga seolah-olah lupa akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai pelajar. Harapan ibubapa mereka adalah untuk melihat anak-anak berjaya sehingga sanggup membelanjakan wang ringgit asalkan kemahuan anak-anak dapat dicapai. Kadangkala golongan pelajar ini langsung tidak mempunyai rasa bersalah ketika ponteng kelas, merokok dan adakalanya berpelukan dengan teman wanitanya. Seolah-olah bagi mereka perbuatan tersebut bukanya satu kesalahan yang besar di zaman moden ini.

Berbalik kepada alam persekolahan dulu dengan zaman sekarang, terlalu banyak jurang perbezaannya. Pada zaman  persekolahan  dulu, kenakalan pelajar juga wujud tetapi tidaklah seteruk zaman sekarang. Kalau pelajar didapati bersalah mereka akan bersedia untuk menerima hukuman terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Di samping itu, rasa hormat kepada guru dan orang tua amat menebal dalam diri pelajar walau senakal manapun. Mereka jarang sekali untuk menunjuk-nunjuk mereka merokok, lumba haram dan sebagainya tetapi pada hari ini rasa malu kepada orang-orang tua atau  orang yang lebih dewasa daripada mereka amat kurang sekali dikalangan pelajar . Apatah lagi kalau individu berkenaan bukanlah dari kalangan keluarga mereka sendiri.

Kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan pada hari ini juga didapati telah mengalami perbezaan yang ketara. Kalau dulu peranan pendidik amat dipandang tinggi oleh masyarakat kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Ini bukan bermaksud untuk mengatakan pendidik sekarang tidak berilmu. Segala tindakan dan keputusan yang dibuat oleh pendidik terhadap pelajar-pelajarnya akan diterima oleh ibubapa atau masyarakat dengan penuh kepercayaan tugas dan peranan pendidik untuk mendidik anak-anak mereka. Tanggungjawab yang diamanahkan kepada golongan pendidik  pada masa dahulu telah digunakan dengan sebaik mungkin dalam memastikan pelajar-pelajarnya mencapai kejayaan atau setidak-tidaknya berjaya  menjadi 'manusia'.  Ini menyebabkan golongan pendidik amat merasai mereka amat dihargai oleh ibu bapa dan masyarakat sendiri.

Kalau kita perhatikan didikan dirumah juga memainkan peranan penting dalam membentuk jatidiri pelajar-pelajar. Kualiti masa bersama anak-anak juga akan membentuk corak perilaku pelajar-pelajar sekarang. Pada masa sekarang perhatian ibubapa terhadap anak-anak semakin berkurangan disebabkan tuntutan hidup mengejar kebendaan dan wang ringgit. Bagi keluarga yang berjaya menguruskan perkara ini tiada masalah bagi mereka. Tapi bagaimana pula bagi keluarga yang tidak mempunyai sistem ekonomi dan nilai keagaaam yang kukuh.

Sebagai contoh, ibubapa saya sendiri juga tidak mempunyai pendidikan formal. Mereka hanya boleh mebaca  saja. Itupun dah  dikira beruntung kerana ramai lagi yang langsung tidak tahu membaca. Saya pula dari dari sekolah rendah  dulu selalu mendapat antara markah yang tertinggi di kalangan rakan-rakan. Ini amat membanggakan ibubapa saya walaupun ianya hanyalah diperingkat sekolah rendah sahaja. Pujian dan harapan yang diberikan oleh ibubapa saya kepada guru amat tinggi hingga pada satu ketika, ayah saya sendiri sanggup menunggu guru yang mengajar saya selama berjam-jam untuk mengucapkan terima kasih kepada guru berkenaan. Ini menunjukkan nilai dan penghormatan masyarakat terhadap peranan guru atau pendidik amat tinggi.

Pada hari ini juga didapati kesedaran yang melampau tentang pentingnya pelajaran  dan sikap berlumba-lumba ibubapa untuk memastikan kejayaan anak-anak hingga kadangkala terpaksa mengorbankan masa remaja dan zaman kanak-kanak. Apa tidaknya, kadangkala zaman kanak-kanak yang sepatutnya seorang kanak-kanak kecapi terpaksa dikorbankan demi mencapai cita-cita ibubapa. Anak-anak seawal darjah satu telahpun dihantar ke kelas-kelas tuisyen bagi memastikan pelajaran anak-anak sentiasa cemerlang. Ini ditambah pula dengan sistem pendidikan sekarang yang lebih berorientasikan pepereksaan  berbanding pembangunan pemikiran dan keagamaan serta sosial pelajar menyebabkan  lahirnya  pelajar  mahupun lulusan universiti sendiri yang tidak  dapat berfikiran secara kreatif  dan kurang peka terhadap masalah persekitaran dan isu-isu semasa. Saya kadangkala juga dilantik menjadi panel penemuduga bagi jawatan dalam agensi kerajaan. Apabila diajukan soalan kepada lepasan universiti sendiri didapati pemikiran  dan  pendapat mereka agak terbatas terutama berkaitan dengan isu-isu semasa yang berlaku dalam negara. Apatah lagi untuk  mengemukakan soalan yang berbentuk pengetahuan am yang rata-rata amat sukar untuk dijawab.

Dalam hal ini  semua pihak termasuk ibubapa, guru-guru, pendidik, ahli masyarakat seharusnya mengambil peranan penting dalam memastikan masalah sosial pelajar-pelajar khususnya golongan bumiputera dapat dibendung dan membantu kerajaan dalam mewujudkan modal insan yang kreatif dan inovatif.

Institusi kekeluargaan dan institusi persekolahan merupakan asas ayang penting dalam membentuk kecemerlangan pelajar-pelajar pada hari ini.  Amanah yang dipikul oleh pihak sekolah  atau institusi pendidikan akan menentukan masa depan pelajar atau remaja terbabit. Sistem pendidikan yang  berorientasikan pepereksaan  sekarang harus dikaji semula bagi menghadapi perkembangan dan cabaran dunia global.

No comments:

Post a Comment