Thursday, April 8, 2010

DASAR SOSIAL NEGARA : PERANAN JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT DALAM MENANGANI ISU SOSIAL

Jabatan Kebajikan Masyarakat merupakan satu agensi yang mempunyai tanggungjawab sosial yang menyeluruh dan mempunyai kumpulan sasar yang meliputi semua lapisan masyarakat. Dalam memastikan Dasar Sosial Negara mencapai matlamat seperti yang ditetapkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat merupakan agensi pelaksana dan penyelaras yang memainkan peranan penting mencapai sasaran tersebut.

Matlamat utama Dasar  Sosial Negara bertujuan mewujudkan masyarakat  Malaysia yang maju dan mantap dari segi sosial, ekonomi, dan teknologi dengan setiap anggota masyarakat berpeluang serta berkeinginan untuk memperkembangkan potensi diri secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu-padu, berdaya tahan, demokratik, bertoleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat Wawasan 2020.

Dalam memastikan matlamat tersebut mencapai kejayaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan utama melaksanakan agenda tersebut. Jaringan dan perkaitan Dasar Sosial Negara dan Jabatan Kebajiakn Masyarakat dalam menagani isu sosial perlu dilihat dengan meluas dalam skop dan objektif khusus Dasar Sosial Negara.

Anta objektif khusus Dasar Sosial Negara ialah:
  • Memastikan keperluan asas individu, keluarga adan masyarakat dipenuhi;
  • Membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat;
  • Memperkukuh dan membangunakan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial; dan
  • Menjana sinergi multisektor
Dalam usaha memastikan keperluan asas individu, keluarga, dan masyarakat dipenuhi seperti yang digariskan dalam objektif Dasar Sosial Negara , Jabatan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam melaksanakan perkara tersebut. Sekiranya keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat tidak dipenuhi oleh agensi yang bertanggungjawab, ianya akan mewujudkan masalah dan menjadi isu sosial yang mesti diselesaikan oleh pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan. 

Justeru itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat berperanan untuk memastikan golongan yang kurang berkemampuan dapat menikmati keperluan asas yang sama dengan individu lain dalam masyarakat. Sebagai contohnya sistem pemberian bantuan kebajikan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat membantu individu atau keluarga yang kurang berkemampuan menikmati keperluan asas seperti ahli masyarakat yang lain. Perkara ini penting kerana  jika golongan yang kurang berkemampuan tidak diberi bantuan atau pertolongan sudah tentu boleh mewujudkan masalah sosial dalam negara seperti masalah kutu rayau, menyamun, mencuri, peras ugut dan sebagainya yang kalau difikirkan secara mendalam adalah disebabkan faktor dan dorongan untuk memenuhi keperluan asas.

Sementara itu, dalam usaha untuk merealisasikan  objektif Dasar Sosial Negara terutamanya adalam aspek membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat, Jabatan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan yang penting untuk mencapai matlamat tersebut.Sebagai contohnya usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat dilihat dalam mengadvokasikan pendaftaran Taska dan Pusat Jagaan. Tujuan penubuhan Taska dan Pusat Jagaan adalah untuk memastikan bahawa setiap kanak-kanak diperingkat awal mendapat peluang dalam menentukan perkembangan sel-sel otak secara maksimum, membantu pembinaan tubuh, meningkatkan keyakinan diri serta perkembangan identiti diri dalam suasana dan jaringan perhubungan positif dalam keluarga dan masyarakat. Perkara ini amat dititikberatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan tahap perkembangan awal kanak-kanak mengikut acuan yang positif. Walau bagaimanapun peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak hanya tertumpu kepada kanak-kanak di Taska dan Pusat Jagaan sahaja tetapi juga meliputi kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun.

Sementara itu, bagi golongan dewasa dan warga emas, Jabtan Kebajikan Masyarakat berperanan memberikan sokongan dan bantuan bagi memastikan golongan ini tidak lagi tertekan dari segi emosi, kewangan dan kesihatan. Berdasarkan contoh-contoh yang telah dibincangkan ini, dapat disimpulkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam usaha menjayakan matlamat Dasar Sosial Negara khususnya dalam menangani isu dan masalah sosial.

Memperkukuh dan membangunkan sisitem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial juga merupakan elemen yang penting dalam memastikan serta memperkuatkan sistem sokongan sosial yang sedia ada melalui sistem kekeluargaan, komuniti, kumpulan ethnik, agama, pendidikan, dan organisasi sosial untuk membantu anggota masyarakat. Di sini semua faktor yang terlibat dalam sistem penyampaian perkhidmatan sosial perlu saling bekerjasama dan melengkapi antara satu sama lain. Jabtan Kebajikan Masyarakat amnya memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha tersebut. program-program sukarelawan yang dianjurkan oleh Jabtan Kebajikan Masyarakat merupakan satu kaedah yang penting dalam usaha memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial. Pertubuhan-pertubuhan sukarelawan di bawah kendalian Jabtan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan penting diperingkat akar umbi melaksanakan agenda di atas. Usaha dan perancangan yang dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah tentu sedikit sebanayak dapat merungkaikan permasalahan dan isu-isu sosial yang berlaku dalam negara dan ianya bertepatan dengan matlamat pengwujudan Dasar Sosial Negara.

Jabatan Kebajikan Masyarakat berperanan sebagai urusetia dalam pelaksanaan Dasar Sosial Negara di peringkat daerah dan negeri. Melalui laporan sosial dan laporan pelaksanaan program Dasar Sosial Negara di peringkat akar umbi, didapati Jabatan Kebajikan Masayarakat secara tak langsung dapat melihat dan mengenalpasti masalah dan isu sosial yang wujud dalam negara. Ini membolehkan Jabatan Kebajikan Masayarakat mengambil tindakan proaktif mengenalpasti masalah dan menyelesaikannya samada oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat itu sendiri atau melalui kerjasama dan pertolongan daripada agensi yang berkaitan. Sebagai contohnya, galakan yang diberi oleh Jabtan Kebajikan Masayarakat kepada sektor swasta atau NGO yang ingin menubuhkan isntitusi perkhidmatan sosial juga merupakan salah satu elemen tindakan awal yang dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam menagani masalah dan isu sosial kerana bukan semua institusi di bawah pengendalian Jabatan Kebajikan Masayarakat mampu untuk menampung jumlah klien yang semakin meningkat dan  sekiranya tiada agensi yang membantu akan menambahkan  lagi isu dan masalah sosial dalam negara.

Selain itu, kerjasama di kalangan sektor awam serta antara sektor awam serta sektor swasta dan sukarelawan juga perlu ditingkatkan supaya wujud sinergi tenaga dan sumber dalam masyarakat untuk tujuan menjamin perkhidmatan sosial yang terbaik bagi semua anggota masyarakat. Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak sebagai urusetia untuk mengenalpasti persaingan serta pertindihan peranan yang dimainkan oleh setiap agensi. Ini dapat mengurangkan sumber serta tenaga yang diperlukan dalam menagani isu dan masalah sosial.

Dalam memperkasakan elemen sinergi multisektor, khususnya dalam usaha kerajaan menangani isu sosial, Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh memainkan peranan penting dengan menggalakkan sektor swasta menjalankan tanggungjawab sosial dan dipihak Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah membantu menyediakan program kepada kumpulan sasar seperti warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya, dan lain-lain khususnya untuk menagani isu sosial secara teratur selaras dengan prinsip tanggungjawab sosial korporat dan kebajikan adalah tanggungjawab bersama.

Disamping itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga berperanan menggalak dan menyokong perkembangan sektor sukarelawan dengan memberikan sokongan, pengiktirafan, dan insentif kepada individu, tau persatuan perkhidmatan sukarelawan yang memeberi khidmat kepada masyarakat. Sokongan daripada sukarelawan dapat membantu kerajaan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat menjalankan program dan aktiviti khusus untuk menagani isu-isu sosial di peringkat akar umbi selaras dengan matlamat Dasar Sosial Negara.

Sebagai kesimpulannya, Dasar Sosial Negara adalah dasar payung yang merangkumi pelbagai dasar pembangunan sosial negara. Perlaksanaan dasar ini merupakan satu agenda kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang maju dan mantap yang merangkumi semua aspek kehidupan dengan acuannya tersendiri. Justeru itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diamanahkan memainkan tanggungjawab dan peranan utama  untuk melaksanakan agenda Dasar Sosial Negara di peringkat akar umbi khususnya yang berkaitrapat dengan isu dan masalah sosial. Kejayaan yang dikecapi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam menagani isu sosial akan mencerminkan kejayaan pihak kerajaan melaksanakan salah satu daripada matlamat utama yang digariskan dalam Dasar Sosial Negara.


Tulisan ini adalah pendapat peribadi dan bukannya daripada pendapat JKM



No comments:

Post a Comment

Post a Comment