Thursday, November 12, 2009

KEHIDUPAN DI KUALA LUMPUR

Saya masih teringat ketika baru bertukar dari Kuantan Pahang ke Kuala Lumpur, hampir 6 bulan saya menetap seacara terus di Hotel Budget, K.Lumpur. Semasa berseorangan di Kuala Lumpur sebelah malamnya diisi dengan merayau-rayau sekitar Bandar KL dan melihat gelagat dan fenomena manusia. Sepanjang masa tersebut berbagai-bagai peristiwa dan kejadian yang amat menyedihkan khususnya bagi remaja dan tidak kurang golongan dewasa saya temui. Bermula dari kaki mabuk, penagih dadah dan pelacur-pelacur jalanan yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Saya seringkali didatangi oleh kaki mabuk dan penagih dadah untuk meminta wang bagi memenuhi keperluan. Kadangkala saya juga tertipu dengan gelagat mereka walaupun pada hakikatnya saya telah mengetahui bahawa mereka ini adalah kaki mabuk atau penagih dadah. Yang menyedihkan kebanyakkan kumpulan ini adalah anak-anak melayu termasuk golongan pelacur murahan yang amat mengharapkan ehsan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan di bandar KL ini. Apabila saya cuba bertanya kepada mereka kenapa boleh terjebak dengan kegiatan ini, jawapannya cukup ringkas iaitu kerana terpaksa dan terjebak. Kebergantungan kepada kegiatan dan tabiat tersebut menyebabkan mereka terpaksa meneruskan kehidupan sehingga masih mampu bertahan di bandaraya ini.

Kadangkala kemiskinan yang berlaku di Kuala Lumpur sebenarnya adalah ciptaan mereka sendiri. Kebanyakkan yang menjadi mangsa keadaan di Kuala Lumpur ini adalah mereka yang berada di luar bandar dan berhijrah ke KL. Kedatangan yang tidak diundang dan tiada perancangan rapi untuk hadir ke KL menyebabkan berlaku perkara-perkara diluar jangkaan mereka. Akibat kemiskinan hidup di bandaraya mereka sanggup melakukan apa saja kerja asalkan mendapat bayaran bagi meneruskan kehidupan.

Saya masih teringat lagi, sepanjang berada di Kuala Lumpur dan menetap sementara di bandar ini saya telah mengenali sepasang remaja yang baru berhijrah ke Kuala Lumpur. Mereka mengakui telah berkahwin tapi dari pemerhatian, perbualan  dan tingkahlaku mereka saya dapat menyimpulkan bahawa mereka belum lagi berkahwin. Keadaan ini terbukti apabila selang beberapa minggu remaja berkenaan datang menemui saya dan memaklumkan bahawa 'teman wanitanya' telah mengandung dan meminta pendapat saya  apa yang harus dilakukan. Bagi menenangkan mereka saya mencadangkan supaya menempatkan remaja perempuan tersebut ke Rumah Perlindungan Wanita dan telah dipersetujui oleh remaja pasangan berkenaan. Saya juga telah menghubungi pengurusan Rumah Perlindungan Wanita tersebut bagi membantu pasangan ini dan telah menasihatkan pasangan remaja tersebut supaya kembali ke kampung sekiranya tidak mampu untuk terus hidup di K.Lumpur dan diterima dengan baik. Mereka berjanji akan balik ke kampung selepas pasangannya melahirkan anak  nanti. Saya juga telah berjanji dengan Pusat Perlindungan Wanita untuk menghantar remaja berkenaan ke pusat tersebut dalam masa seminggu lagi kerana terpaksa menghjadiri kursus di Utara Tanahair.


Apabila balik dari kursus, saya balik semula ke KL untuk mencari pasangan remaja berkenaan dan dimaklumkan oleh pihak Hotel bahawa  pasangan remaja berkenaan telah keluar daripada hotel budget yang mereka diami. Saya seterusnya menghubungi pihak pengurusan Pusat Perlindungan Wanita untuk bertanyakan pasangan remaja berkenaan tetapi dimaklumkan mereka tidak pernah hadir ke pusat tersebut. Saya beranggapan mereka telah balik ke kampung.

Apa yang mendukacitakan saya, selepas setahun mereka meninggalkan Kuala Lumpur tiba-tiba pada bulan puasa yang lepas saya telah terserempak dengan pasangan ini di sekitar Chow Kit dan bertanya kepada mereka apa  kerja mereka sekarang. Mereka memaklumkan telah bekerja di pasaraya dan mampu untuk   meneruskan kehidupan di Kotaraya ini. Saya menerima penjelasan mereka dengan harapan  akan ada kebahagian untuk mereka. Apa yang memeranjatkan saya selepas sebulan saya telah terserempak dengan remaja perempuan terbabit dengan kaki yang berbalut dan berjalan terhencut-hencut dan dimaklumkan bahawa beliau terjatuh di tempat kerjanya. Beliau juga telah memaklumkan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Apa yang menyedihkan selepas tiga bulan saya bertemu lagi dengan remaja perempuan terbabit di kaki lima Chow Kit  dengan kaki yang dipenuhi dengan luka dan kudis  dan berjalan merayau-rayau di sekitar Chow Kit untuk meminta sedekah. Saya berjanji akan membawa remaja ini ke  tempat pemulihan bagi memastikan masa depannya terjamin dan telah dipersetujui. Keesokan harinya saya bersama dengan pihak pengurusan Rumah Perlindungan Wanita telah ke Chow Kitt untuk mencari remaja berkenaan tetapi kelibatnya tidak lagi ditemui. Saya beranggapan remaja ini telah menjadi magsa kepada sendiket pelacuran  dan kemudiannya dicederakan dengan tujuan untuk meminta sedekah.

Apa yang nak saya kongsi bersama  ialah kehidupan di KL bukanlah semudah yang disangkakan jika tiada perancangan dan pedoman. Keadaan ini akan berlaku kepada semua orang tidak kira remaja ataupun golongan dewasa. Mereka akan tewas kepada keadaan jika kekuatan rohaniah dan perancangan hidup tidak dibawa bersama untuk meniti kehidupan di Kuala Lumpur.



No comments:

Post a Comment