Monday, July 11, 2011

Psikologi Bangsa Melayu: Dulu dan Kini Siri 1

Oleh: A. Amri

Asal Usul Perwatakan Melayu

Apabila berbicara perihal psikologi bangsa Melayu, kita harus membicarakan dua perkara pokok, iaitu identiti asal orang Melayu serta faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukannya, dan faktor-faktor yang telah mengubah atau yang akan mengubah perwatakan bangsa Melayu. Perbincangan ini cuba mengupas pandangan beberapa cendekiawan Melayu berkenaan permasalahan dan cabaran orang Melayu dalam pembentukan personaliti ‘Melayu Kelas Pertama’.

Melayu tradisional adalah satu bangsa yang amat menekankan nilai-nilai sosial. Nilai-nilai ini dipupuk sejak di peringkat kanak-kanak bagi memastikan kelakuannya bersesuaian dengan kehendak masyarakat. Konsep ‘malu’, ‘harga diri’ dan ‘maruah’ mempunyai kepentingan sosial dan nilai-nilai ini dipertahankan habis-habisan.

Orang Melayu dahulu juga dikenali sebagai bangsa yang berbudi bahasa dan hormat menghormati, terutamanya terhadap orang yang lebih tua dan pemimpin mereka. Penekanan terhadap adab dan kesopanan dapat diperhatikan dalam kehidupan beraja. Dalam Sejarah Melayu, dinukilkan betapa pentingnya seorang Sultan atau anak Raja memiliki akhlak yang mulia.
Bakal Sultan dilatih dan dididik agar berketrampilan di mata masyarakat. Di samping meneruskan satu imej sejak turun-temurun, maruah juga dipertaruhkan. Persepsi masyarakat ketika itu, seorang Sultan yang baik adalah Sultan yang mempunyai adab di samping sifat kebijaksanaan.
Budaya dan identiti masyarakat Melayu ketika itu dipengaruhi oleh beberapa faktor, dan yang paling utama adalah kedatangan Islam ke alam Melayu. Kedatangan Islam ke Asia Tenggara pada kurun ke-14 telah membawa perubahan ketara dalam peradaban masyarakat Melayu. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, agama Islam sebenarnya telah mewujudkan identiti bangsa Melayu yang tersendiri.

Meneliti sejarah Kesultanan Melayu Melaka, kita akan mendapati permulaan satu bangsa Melayu yang bertamadun. Bermula dengan Islamnya pemimpin Melayu ketika itu, dan tindakan itu kemudiannya diikuti oleh sekalian rakyat jelata. Orang Melayu juga amat menyanjung dan menghormati golongan alim ulama dan tokoh agama. Guru-guru di zaman awal kemerdekaan dianggap sebagai profesion yang amat mulia dan disanjung tinggi.

Kehalusan budi orang Melayu yang disulam dengan keiklasan iman turut diabadikan di dalam perkataan ‘budiman’ yang mencantumkan makna budi dan iman. Budaya dan tradisi bangsa Melayu bukan sekadar disesuaikan dengan ajaran Islam, bahkan budaya itu sendiri dibina berasaskan nilai-nilai Islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan sistem nilai orang Melayu hampir keseluruhannya dibentuk oleh Islam. 

Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengakui pengaruh Islam terhadap nilai dan etika Melayu melalui buku kontroversi beliau, The Malay Dilemma. Namun, menurutnya, interpretasi yang salah terhadap agama telah menyebabkan orang Melayu terjebak dengan sikap-sikap yang lari daripada landasan agama seperti tidak berani mengambil risiko, tidak tahu merancang dan berpada dengan hidup yang sederhana. Menurutnya lagi, budaya juga merupakan antara sebab orang Melayu kian mundur berbanding bangsa lain. Budaya yang dimaksudkannya ini berpunca daripada faktor persekitaran dan bukan sifat semulajadi orang Melayu.
 
Antara sikap yang diperincikan Tun Dr. Mahathir adalah sikap ‘easy going’ atau sikap ‘tak mengapa’ yang menyebabkan bangsa Melayu terkebelakang dalam bidang perniagaan berbanding bangsa Cina. Sikap ini juga menyebabkannya mudah dieksploitasi dan menyerah kalah. Orang Melayu juga sering mahukan keuntungan segera serta tidak tahu menilai wang. Perkara yang sama telah diungkapkan oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz iaitu orang Melayu hanya tahu sesuatu perkara itu banyak atau sedikit tetapi tidak tahu nilai nombor tersebut.

Dalam buku The Way Forward, Tun Dr. Mahathir telah menyalahkan penjajah di atas sikap negatif orang Melayu. Dasar pecah dan perintah British telah melemahkan masyarakat Melayu dari segenap penjuru. Berbeza pula dengan pandangan Datuk Dr. Hassan Ahmad, bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, yang percaya sikap malas bekerja, suka berpesta dan berpoya-poya orang Melayu adalah ciptaan penjajah Barat yang memandang rendah terhadap masyarakat Melayu atau dalam istilah mereka ‘the natives’ yang merujuk kepada masyarakat yang tidak bertamadun. Persepsi negatif terhadap orang Melayu ini pula terus dipegang oleh orang Melayu sendiri sehingga hari ini.
 
Menurut Dr. Sidek Fadzil, rasa tidak selamat terhadap kuasa Barat turut mendorong orang Melayu menjadi lebih Islamik. Maka sekitar 1950-an muncul nama-nama seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, Pendeta Za’ba dan Profesor Zulkifli Muhammad, cendekiawan Melayu berfahaman Islam moderat yang menyemarakkan kebangkitan semula orang Melayu. Mereka adalah antara tokoh-tokoh orang Melayu yang menentang kehadiran British di Tanah Melayu ketika itu. Kesedaran untuk mengubah nasib bangsa ini sekali lagi disemarakkan oleh sentimen kebangkitan Islam selepas kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniah.

No comments:

Post a Comment