Psikologi Bangsa Melayu: Dulu dan Kini – Siri 2
June 4, 2008 —Universiti Pengurusan Profesional Oleh: A. Amri
Pertembungan Budaya Timur & Barat
Perubahan sikap dari rasa rendah diri dan pemalu kepada sikap yang lebih agresif akibat penindasan penjajah adalah satu transformasi yang normal dan berlaku kepada masyarakat di Negara-negara lain juga. Namun, kebangkitan kali kedua ini berbeza berbanding kebangkitan zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana budaya masyarakat Melayu telah diadun dengan budaya Barat kesan dari penjajahan selama beratus-ratus tahun. Pertembungan budaya masyarakat Melayu dengan kuasa-kuasa Barat telah meninggalkan kesan mendalam terhadap cara hidup dan sistem nilai orang Melayu.
Selama lebih 50 tahun merdeka, identiti Melayu kini lebih parah berbanding sebelum merdeka. Melayu zaman ini telah sedikit sebanyak berubah kepada perwatakan yang lebih destruktif dan mementingkan diri. Saban hari terpampang di surat khabar berita-berita tentang bagaimana orang Melayu memperkosa, merompak dan membunuh. Hampir setiap hari berita sebegini berulang. Orang Melayu yang terkenal dengan sifat kesantunan mereka kian terhakis dalam arus pemodenan.
Tidak cukup dengan jenayah seks dan keganasan, orang Melayu turut memegang ‘title’ penagih dadah nombor wahid Negara. Menurut Jabatan Statistik Negara, sehingga 2005 penagih Melayu mencatat angka tertinggi iaitu sebanyak 22,344 orang atau 68.1 peratus daripada keseluruhan penagih. Jumlah anak luar nikah yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 30,978 daripadanya adalah di kalangan orang Islam yang rata-rata orang Melayu.
Golongan menengah Melayu pula kian tamak dan tidak tahu prioriti hidup. Yang atas tidak mempedulikan golongan bawah. Ini menyebabkan kemiskinan menjadi masalah utama kepada bangsa Melayu. Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan pada tahu 1971 bagi membantu mengurangkan jurang perbezaan dengan kaum lain, perbezaan jurang kekayaan sesama kelas Melayu pula semakin melebar. Dalam kata lain, orang Melayu sendiri tidak mahu menolong orang Malayu. Kesedaran kian pudar untuk membantu bangsa sendiri. Ini diakui sendiri oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz. Menurut beliau, orang Melayu kini tidak mengamalkan slogan masyarakat penyayang, hatta kepada alam sekitar. Berbeza dengan masyarakat Eropah atau Jepun yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.
Dari segi pemikiran pula, secara amnya orang Melayu masih mundur cara berfikirnya berbanding masyarakat di negara-negara maju yang lain. Contohnya, orang Melayu masih berfikiran reaktif dan tidak proaktif. Ertinya kita hanya akan bertindak selepas sesuatu perkara berlaku dan tidak tahu mengambil langkah pre-amptive. Orang Melayu juga tidak berfikiran saintifik dan rasional. Emosi masih dijadikan panduan bertindak. Tidak hairanlah kes mengamuk saban tahun terdiri daripada orang Melayu juga. Kita juga tidak memikirkan tentang orang lain sebagaimana orang jepun. Ungkapan ‘kubur sendiri-sendiri’ memang telah melekat kuat dalam pegangan orang Melayu.
Orang Melayu kini juga disifatkan sebagai tidak sangup bekerja keras dan tidak bersungguh dalam menuntut ilmu. Mungkin ‘tongkat’ yang sentiasa membantu tuannya selama ini telah menyebabkan kaki tuannya sendiri menjadi lemah. Sama ada orang Melayu memang tidak tahu berdiri dengan dua kakinya sendiri atau orang Melayu suka mengambil jalan selamat, tidak berani mengambil ambil risiko. Sistem meritokrasi yang diperkenalkan oleh kerajaan akan berkesudahan dengan dua kemungkinan: kecemerlangan Melayu atau kejatuhan Melayu.
Gelombang Reformasi
Dalam kemelut sosial dan budaya ini, sekurang-kurangnya kesedaran politik orang Melayu menampakkan peningkatan yang positif. Jika selama ini sebahagian besar masyarakat Melayu menganggap urusan politik terserah kepada orang politik sahaja, kini orang Melayu lebih kritis dan prihatin dengan persoalan kenegaraan. Gelombang reformasi yang dibawa oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim lewat tahun 1998 sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah laku politik bangsa Melayu. Orang Melayu sekali lagi turun beramai-ramai di jalan-jalan utama untuk meluahkan perasaan mereka. Suatu yang hanya terjadi sewaktu sebelum merdeka iaitu ketika orang Melayu menolak cadangan Malayan Union.
Gelombang kesedaran politik ini berkekalan sehingga Pilihanraya Umum Ke-12 baru-baru ini yang menyaksikan lima negeri dikuasai Pakatan Rakyat (PKR-PAS-DAP). Fenomena politik yang belum pernah disaksikan ini melambangkan bahawa orang Melayu dari golongan atasan hinggalah peringkat bawahan telah celik dalam soal politik. Kemenangan Pakatan Rakyat (sebelum ini Barisan Alternatif) di negeri-negeri yang majoriti orang Melayu seperti Kelantan dan Kedah menunjukkan bahawa orang Melayu telah berani mengambil risiko dalam politik.
Kekalahan UMNO yang merupakan parti utama orang Melayu di lima negeri tersebut tidak bermakna kuasa politik orang Melayu sudah susut. Malah, tsunami politik pada Mac 2008 yang lalu membuka jalan kepada kebangkitan Raja-Raja Melayu. Raja-Raja Melayu yang sekian lama mendiamkan diri dari pentas politik tanah air telah membuka mata para ahli politik bahawa titah DiRaja masih berbisa. Ini berlaku di Terengganu, Perak dan Perlis.
Faktor-faktor Perubahan Tingkah Laku
Pemimpin dan cendekiawan Melayu tdak boleh selamanya menyalahkan Barat di atas kebejatan sosial yang melanda. Pembongkaran demi pembongkaran permasalahan yang dihadapi oleh golongan belia Melayu perlu diambil tindakan serius dan segera. Antara faktor dominan yang dikenal pasti mempengaruhi tingkah laku remaja adalah media massa. Pakar perunding psikiatrik kanak-kanak dan remaja, Profesor Dr. Kasmini Kassim mendapati melalui penyelidikan, media mempunyai pengaruh kuat dalam pembentukan sikap ganas remaja yang terjebak dalam salah laku jenayah. Program berbentuk keganasan dan lambakan majalah berunsur lucah di pasaran pastinya merosakkan usaha menyemai nilai-nilai murni dalam diri remaja kita.
Keruntuhan institusi kekeluargaan juga mempunyai impak yang besar dalam pembentukan sistem nilai masyarakat. Rata-rata golongan menengah Melayu yang hidup mewah tidak dapat lagi membezakan antara kasih-sayang dan wang ringgit. Mereka menganggap dengan memberi kemewahan hidup dapat menggantikan kasih sayang. Tanpa disedari mereka sendiri menyemai sifat materialistik dalam diri anak-anak mereka. Ini akhirnya mengundang bencana kerana menurut ahli psikologi, masyarakat yang tidak diberikan kasih-sayang tidak akan tahu memberikan kasih sayang.
Budaya apakah yang telah melanda orang Melayu abad ke-21 ini? Bagaimanakah bentuk masyarakat Melayu 20 tahun dari sekarang? Inilah dilemma dan halangan yang harus difahami dan diatasi oleh pemimpin, cendekiawan dan masyarakat Melayu sekarang. Bangsa Melayu tidak boleh asyik bercakaran sesama sendiri dan membiarkan martabat bangsa berkubur. Pemimpin Melayu harus merenung sejarah dan mengenalpasti faktor utama mengapa bangsa Melayu mundur dan bagaimana ia boleh kembali menyinar. Jika gelombang ketamadunan pertama dan kedua ditunjangi oleh kehadiran Islam, mungkinkah pembentukan personaliti kelas pertama juga perlu kepada kehadiran sinar Islam? Hanya orang Melayu yang dapat menentukan survival bangsanya.
No comments:
Post a Comment