Relaxlah Bro, pekena dulu sebatang, kelas lambat lagi, alah, kita yang bayar   yuran, apa nak takut''. Itulah ayat yang saya selalu dengar daripada mulut  pelajar-pelajar melayu di sebuah kolej yang agak ternama di Ibu Kota K.Lumpur  berhampiran tempat keraja saya.
Kadangkala  terfikir juga dibenak  saya kenapa anak melayu terlalu suka berseronok hingga  seolah-olah lupa akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai pelajar.  Harapan ibubapa mereka adalah untuk melihat anak-anak berjaya sehingga sanggup  membelanjakan wang ringgit asalkan kemahuan anak-anak dapat dicapai. Kadangkala  golongan pelajar ini langsung tidak mempunyai rasa bersalah ketika ponteng  kelas, merokok dan adakalanya berpelukan dengan teman wanitanya. Seolah-olah  bagi mereka perbuatan tersebut bukanya satu kesalahan yang besar di zaman moden  ini.
Berbalik  kepada alam persekolahan dulu dengan zaman sekarang, terlalu banyak jurang  perbezaannya. Pada zaman  persekolahan  dulu, kenakalan pelajar juga wujud  tetapi tidaklah seteruk zaman sekarang. Kalau pelajar didapati bersalah mereka  akan bersedia untuk menerima hukuman terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Di  samping itu, rasa hormat kepada guru dan orang tua amat menebal dalam diri  pelajar walau senakal manapun. Mereka jarang sekali untuk menunjuk-nunjuk mereka  merokok, lumba haram dan sebagainya tetapi pada hari ini rasa malu kepada  orang-orang tua atau  orang yang lebih dewasa daripada mereka amat kurang sekali  dikalangan pelajar . Apatah lagi kalau individu berkenaan bukanlah dari kalangan  keluarga mereka sendiri.
Kepercayaan  masyarakat terhadap institusi pendidikan pada hari ini juga didapati telah  mengalami perbezaan yang ketara. Kalau dulu peranan pendidik amat dipandang  tinggi oleh masyarakat kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Ini bukan  bermaksud untuk mengatakan pendidik sekarang tidak berilmu. Segala tindakan dan  keputusan yang dibuat oleh pendidik terhadap pelajar-pelajarnya akan diterima  oleh ibubapa atau masyarakat dengan penuh kepercayaan tugas dan peranan pendidik  untuk mendidik anak-anak mereka. Tanggungjawab yang diamanahkan kepada golongan  pendidik  pada masa dahulu telah digunakan dengan sebaik mungkin dalam  memastikan pelajar-pelajarnya mencapai kejayaan atau setidak-tidaknya berjaya   menjadi 'manusia'.  Ini menyebabkan golongan pendidik amat merasai mereka amat  dihargai oleh ibu bapa dan masyarakat sendiri.
Kalau  kita perhatikan didikan dirumah juga memainkan peranan penting dalam membentuk  jatidiri pelajar-pelajar. Kualiti masa bersama anak-anak juga akan membentuk  corak perilaku pelajar-pelajar sekarang. Pada masa sekarang perhatian ibubapa  terhadap anak-anak semakin berkurangan disebabkan tuntutan hidup mengejar  kebendaan dan wang ringgit. Bagi keluarga yang berjaya menguruskan perkara ini  tiada masalah bagi mereka. Tapi bagaimana pula bagi keluarga yang tidak  mempunyai sistem ekonomi dan nilai keagaaam yang kukuh.
Sebagai  contoh, ibubapa saya sendiri juga tidak mempunyai pendidikan formal. Mereka  hanya boleh mebaca  saja. Itupun dah  dikira beruntung kerana ramai lagi yang  langsung tidak tahu membaca. Saya pula dari dari sekolah rendah  dulu selalu  mendapat antara markah yang tertinggi di kalangan rakan-rakan. Ini amat  membanggakan ibubapa saya walaupun ianya hanyalah diperingkat sekolah rendah  sahaja. Pujian dan harapan yang diberikan oleh ibubapa saya kepada guru amat  tinggi hingga pada satu ketika, ayah saya sendiri sanggup menunggu guru yang  mengajar saya selama berjam-jam untuk mengucapkan terima kasih kepada guru  berkenaan. Ini menunjukkan nilai dan penghormatan masyarakat terhadap peranan  guru atau pendidik amat tinggi.
Pada  hari ini juga didapati kesedaran yang melampau tentang pentingnya pelajaran  dan  sikap berlumba-lumba ibubapa untuk memastikan kejayaan anak-anak hingga  kadangkala terpaksa mengorbankan masa remaja dan zaman kanak-kanak. Apa  tidaknya, kadangkala zaman kanak-kanak yang sepatutnya seorang kanak-kanak  kecapi terpaksa dikorbankan demi mencapai cita-cita ibubapa. Anak-anak seawal  darjah satu telahpun dihantar ke kelas-kelas tuisyen bagi memastikan pelajaran  anak-anak sentiasa cemerlang. Ini ditambah pula dengan sistem pendidikan  sekarang yang lebih berorientasikan pepereksaan  berbanding pembangunan  pemikiran dan keagamaan serta sosial pelajar menyebabkan  lahirnya  pelajar   mahupun lulusan universiti sendiri yang tidak  dapat berfikiran secara kreatif   dan kurang peka terhadap masalah persekitaran dan isu-isu semasa. Saya  kadangkala juga dilantik menjadi panel penemuduga bagi jawatan dalam agensi  kerajaan. Apabila diajukan soalan kepada lepasan universiti sendiri didapati  pemikiran  dan  pendapat mereka agak terbatas terutama berkaitan dengan isu-isu  semasa yang berlaku dalam negara. Apatah lagi untuk  mengemukakan soalan yang  berbentuk pengetahuan am yang rata-rata amat sukar untuk dijawab.
Dalam  hal ini  semua pihak termasuk ibubapa, guru-guru, pendidik, ahli masyarakat  seharusnya mengambil peranan penting dalam memastikan masalah sosial  pelajar-pelajar khususnya golongan bumiputera dapat dibendung dan membantu  kerajaan dalam mewujudkan modal insan yang kreatif dan inovatif.
Institusi  kekeluargaan dan institusi persekolahan merupakan asas ayang penting dalam  membentuk kecemerlangan pelajar-pelajar pada hari ini.  Amanah yang dipikul oleh  pihak sekolah  atau institusi pendidikan akan menentukan masa depan pelajar atau  remaja terbabit. Sistem pendidikan yang  berorientasikan pepereksaan  sekarang  harus dikaji semula bagi menghadapi perkembangan dan cabaran dunia  global.
 
 
No comments:
Post a Comment