ANUAR ALOR GANU- BICARA SAYA
MANUSIA, ALAM DAN KEHIDUPAN SALING BERHUBUNGAN
Saturday, February 4, 2017
SUKARELAWAN DAN REALITI MASA KINI
Sukarelawan adalah satu kerja yang mulia, memerlukan sesuatu niat dan tujuan yang ikhlas dalam melaksanakan sesuatu dan tujuan utamanya adalah untuk membantu individu, keluarga atau komuniti yang memerlukan. Justeru itu, bukan semua manusia atau individu boleh melakukan kerja-kerja sukarela atau dipanggil sukarelawan. Apa yang penting dan perlu ditegaskan di sini ialah sukarelawan adalah seseorang individu yang dianugerahkan dalam dirinya samada melalui pembelajaran atau pengalaman yang ada pada dirinya sendiri yang sememangnya unik dan tiada dalam diri orang lain dan fokus utama adalah niat ingin membantu. Kemahiran, pengalaman, kebolehan, kekuatan diri dan sebagainya akan dikongsi atau disumbangkan kepada pihak lain. Inilah ciri-ciri sebenar yang perlu ada dalam diri seorang sukarelawan.
Melaksanakan kerja-kerja sukarela bukanlah sesuatu yang mudah dan senang untuk dilaksanakan terutama dalam berhadapan dengan komuniti yang pelbagai ragam dan latarbelakang soial masing-masing. Dalam usaha untuk membantu individu atau komuniti seseorang sukarelawan seharusnya berada atau seolah-seolahnya dirinya adalah sebahagian dari individu atau komuniti itu sendiri dan memahami apa sebenarnya berlaku dalam komuniti tersebut. Menyesuaikan diri dengan komuniti atau individu yang hendak dibantu adalah elemen utama yang perlu diterapkan sebelum kerja-kerja sukarela dilaksanakan dalam komunit tersebut. Justeru itu, keyakinan dan azam yang kuat untuk sama-sama membantu komuniti tersebut haruslah diterapkan di dalam diri seorang sukarelawan. Perasaan rendah diri dan kurang keyakinan akan merencatkan segala prinsip dan tujuan untuk melakukan kerja-kerja sukareela yang ingin dilaksanakan dalam komuniti tersebut.
Di samping itu juga, sebelum merancang atau ingin melaksanakan kerja-kerja sukarela, seseorang sukarelawan seharusnya mendapatkan pandangan, panduan dan kerjasama daripada rakan-rakan yang berpengetahuan dalam aspek sukarelawan untuk memberi idea dan pandangan tentang apa yang ingin dilaksanakannya. Elemen sokongan dan penerimaan daripada komuniti juga seharusnya diambil kira dalam memastikan kerja-kerja sukarela yang hendak dilaksanakan mencapai tujuan atau sasaran yang ditetapkan.
Selain daripada faktor-faktor di atas, masalah kewangan juga merupakan cabaran utama yang perlu diberi perhatian untuk menjadi seorang sukarelawan yang berjaya. Sebaik-baiknya keperluan asas diri dan keluarga telah dipenuhi terlebih dahulu sebelum berusaha untuk membantu orang lain. Ini kerana masalah kewangan peribadi semestinya akan menghalang kerja-kerja sukarela yang hendak dilaksanakan dan ini juga boleh mendorong kepada kegagalan dalam melaksanakan kerja-kerja sukarela.
Pada hari ini banyak persatuan atau pertubuhan sukarela telah berkembang di negara kita dengan tujuan untuk bersama-sama membantu komuniti atau masyarakat yang memerlukan. Walau bagaimana terdapat sesetengah kumpulan sukarelawan atau NGO-NGO yang telah merosakkan semangat dan prinsip-prinsip kerja sebagai seorang sukarelawan. Penubuhan NGO atau pasukan kerja sukarelawan yang bercirikan kebendaan dan kewangan telah banyak menghalang usaha untuk membentuk sukarelawan yang betul-betul 'genuine' gagal dilaksanakan. Terdapat sesetangan kumpulan NGO-NGO ini telah mengajar dan menarik golongan muda khususnya pelajar-pelajar universiti untuk terlibat dengan kerja-kerja sukarela dengan berorientasikan kewangan. Golongan muda ini diajar atau disogok dengan kewangan untuk melaksanakan keraja-kerja sukarela yang menyebabkan elemen kerja-kerja sukarelawan telah tercemar dan memberi kesan kepada pertubuhan lain yang melaksanakan kerja-kerja sukarela tanpa sebarang bayaran.
Tidak hairanlah jika pada suatu hari nanti kita akan lihat sesuatu pertubuhan atau NGO-NGO yang dulunya amat berjaya dan cemerlang dalam aspek kesukarelaan dan pernah dijulang oleh pihak kerajaan akan lenyap dalam tempoh yang singkat disebabkan penerapan elemen kewangan yang ditanam dalam diri seorang sukarelawan hingga memberi kesan kepada lain-lain pertubuhan yang semamngnya 'genuine' dalam melaksanakan kerja-kerja sukarela. Justeru itu, pihak kerajaan yang berkai langsung dengan aspek kesukarelaan seharusnya peka kepada elemen-elemen ini dan pihak universiti pula seharusnya menyediakan kerangka yang luas kepada pelajar-pelajarnya agar lebih memahami aspek-aspek kerja kesukarelaan...
Wsalam.....
Friday, September 28, 2012
| |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
Thursday, September 27, 2012
Keberkesanan Komunikasi dan Hubungannya dengan Kecemerlangan Organisasi
Keberkesanan
Komunikasi dan Hubungannya dengan Kecemerlangan Organisasi
Pengenalan
Komunikasi adalah instrumen
yang amat penting dalam hubungan manusia. Ia juga merupakan elemen utama yang harus diberi perhatian dalam sesuatu
organisasi.
Sistem komunikasi yang cekap
dan tidak terlalu formal dalam sesebuah organisasi amat penting dalam membina
hubungan anatara pihak majikan dengan pekerjanya atau pihak pengurusan atasan
dengan pekerja bawahannya. Komunikasi
yang baik antara kedua-dua pihak dapat mengeratkan hubungan antara pihak
pengurusan atasan dengan pekerjanya disamping dapat memastikan maklumat yang
ingin disampaikan oleh ke dua-dua pihak
tepat dan dapat diaplikasikan dengan baik dalam melaksanakan sesuatu tugasan
yang diamanahkan.
Tujuan komunikasi dalam
sesuatu organisasi adalah berbeza-beza dan berlaku kepada semua lapisan pekerja
bermula daripada pengurusan atasan, pertengahan dan pekerja bawahan.
Permasalahan
Dalam Komunikasi
Komunikasi memainkan peranan
penting dalam menentukan halatuju sesuatu organisasi. Ianya berfungsi
sebagai penggerak organisasi dan agen
yang dapat meningkatkan motivasi di kalangan pekerja terutama pekerja
bawahannya. Banyak berlaku pihak pengurusan atasan tidak menyedari tentang
kepentingan elemen komunikasi yang baik amat diperlukan dalam melaksanakan
sesuatu dasar atau perancangan yang telah ditetapkan oleh setiap organisasi.
Komunikasi boleh juga menjadi agen penyatu yang dapat mengeratkan hubungan
pekerja dalam sesuatu organisasi. Hubungan yang baik antara pekerja dapat
menentukan iklim dan halatuju yang ingin dilaksanakan oleh organisasi terbabit.
Pada hari ni didadapati
masih lagi banyak pihak pengurusan atasan tidak menitikberatkan elemen
komunikasi dalam menetukan kejayaan yang ingin dicapai oleh organisasinya.
Masih lagi terdapat anggapan daripada pihak pengurusan atasan bahawa komunikasi
bukanlah satu masalah yang besar yang perlu diberi penekanan dimana golongan
pengurusan sebegini menganggap hanya kemahiran intelektual dan keupayaan
merancang seorang kakitangan sahaja yang dapat menentukan kejayaan
organisasasinya. Keadaan ini akan mengakibatkan semakin hari kemungkinan akan berlaku secara
perlahan-lahan suasana yang tidak
harmoni, kekeliruan, dan salah faham antara pihak pengurusan atasan dengan kakitangan
bawahannya disebabkan mesej yang cuba disampaikan tidak mencapai matlamat
seperti yang dikehendaki.
Masalah salah faham yang wujud di kalangan pekerja
inilah yang boleh mengakibatkan peranan oraganisasi tersebut tidak mencapai
matlamat seperti dikehendaki. Ini juga
boleh mengakibatkan prestasi pekerja akan merosot dan boleh member kesan yang ketara kepada sesuatu organisasi.
Ini mungkin disebabkan arahan yang
diterima oleh pekerja tersebut tentang
tugas yang harus dilaksanakan oleh mereka tidak begitu jelas disamping tiadanya
elemen galakan dan motivasi yang wujud di kalangan pengurusan atasan.
Ketidakyakinan untuk
melaksanakan tugas yang diamanahkan boleh mengakibatkan penurunan motivasi
untuk melaksanakan tugasan tersebut. Ini boleh mewujudkan ketidakpuasan bekerja
di dalam diri individu yang terlibat. Ini menunujukkan komunikasi memainkan
peranan penting dalam menentukan kepuasan bekerja dan kepuasan bekerja pula
akan mencorakkkan kejayaan dalam sesuatu organisasi Ke dua-dua ini mesti diberi
perhatian yang serius bagi memastikan matlamat dan dasar organisasi dapat
dicapai sebaik mungkin.
Justeru itu, pihak
pengurusan atasan hendaklah mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan
kemahiran berkomunikasi dengan tidak meletakkkan ego individu sebagai penghalang komunikasi
dengan pekerja bawahannya. Kemampuan pihak atasan menyampaikan maklumat,
memberi penjelasan dan maklumbalas yang
tepat terhadap dasar dan matlamat organisasi atau sasaran kerja yang ingin
dilaksanakan kepada pekerja bawahannya dapat mewujudkan suasana dan
persekitaran yang produktif dan meningkatkan motivasi di kalangan pekerjanya.
Ketua-ketua di
jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat dengan kerja-kerja sosial seperti
jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Belia dan Sukan,Jjabatan Penerangan,
Jabatan Pembangunan Wanita dan lain-lain agensi yang terlibat secara langsung
dengan kerja-kerja social seharusnya mengambil kira elemen komukasi dalam
perancangan organisasi atau jabatan yang diterajuinya. Dalam usaha untuk
meningkatkan dan memastikan agar para pekerja terus berpuas hati dengan system
komunikasi yang ada, Pihak pengurusan mestilah memastikan amalan komuni kasi
hendaklah secara terbuka dan tidak terlalu formal terutama dalam mengendalikan
kerja-kerja social.
Dalam hal ini pihak
pengurusan atasan seharusnya lebih terbuka dan bersedia mendengar pendapat dan
maklumbalas, cadangan dan permasalah yang dihadapi oleh pekerjanya. Komunikasi
dan perjumpaan yang sering diadakan dapat mengelakkan berlakunya konflik dan
salah faham dikalangan pekerja dan seterusnya dapat mengeratkan hubungan antara
pengurusan atasan dengan kakitangan bawahannya dan ini sudah tentu dapat meningkatkan motivasi
dan semangat untuk bekerja di kalangan kakitangan bawahannya.
Monday, September 24, 2012
Catatan Tun Mahathir
Tun M - Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.
Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.
Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.
Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.
Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.
Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.
Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.
Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.
Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.
Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.
Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British.
Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.
Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.
Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.
Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.
Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.
Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.
Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.
Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.
Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.
Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.
Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.
Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.
Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.
Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma.
Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.
Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.
Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit
yang ada pada mereka.
yang ada pada mereka.
Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.
Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.
Friday, September 7, 2012
Pembangunan Modal Insan Dalam Konteks Pendekatan Islam
Pembangunan Modal Insan Dalam Konteks Pendekatan Islam
Konsep Modal Insan
Modal insan boleh meliputi
elemen-elemen berikut:-
• Pekerja, personel, tenaga manusia, sumber manusia,
• HRD, HRM, HCD, Pengurusan Keupayaan Diri
Mengiktiraf insan:
• sebagai satu aset berharga atau lebih penting
daripada aset lain (fizikal,
kewangan, jentera dsbnya)
• bukan sebagai satu kos yang mesti ditanggung atau
liability kepada organisasi
Pelaburan dalam modal insan
secara strategik dan bijak boleh membawa pulangan kepada organisasi. Kejayaan sesuatu
organisasi dimasa hadapan akan
ditentukan oleh kekuatan modal insan yang dibentuk.
Justeru itu, secara ringkasnya
modal insan boleh ditakrifkan sebagai
suatu aset yang diperolehi oleh individu atau manusia untuk meningkatkan
kualiti kehidupan diri, keluarga dan masyarakat. Ia perlu memenuhi ciri-ciri
yang memenuhi keperluan pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan Negara.
Dalam RMK-9, modal insan telah dijadikan nadi utama dalam mencapai pembangunan Negara. Ianya secara jelas telah mensasarkan beberapa fasa yang harus direalisasikan untuk menjamin kemajuan Negara pada khususnya menjelang tahun 2020.
Pembangunan
Modal Insan Dalam Konteks Pendekatan Islam
Sementara itu, pembangunan
modal insan dalam konteks pendekatan Islam lebih memberi penekanan kepada
kesedaran tentang betapa perlunya setiap
individu mengetahui tentang apa yang
perlu dilakukan, dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala
tindakan atau perbuatan yang dilakukan supaya semua yang dilakukan menjadi
sebahagian daripada amalan baik dan role model.
Apa yang dipentingkan dalam
konteks pendekatan Islam ialah membangunkan keperibadian manusia ke arah jalan yang berkonsepkan keislaman
selari dengan bakat dan kebolehan seseorang individu menerusi program
pembangunan diri melalaui pelbagai wacana ilmu. Setiap individu islam perlu
dikembangkan dengan konsep dan kekuatan sprintual untuk menggerakkan kebertanggungjawapan
dengan suci hati, kekuatan minda untuk memikirkan tentang kerja
yang lebih sistematik dan berdaya maju, kekuatan fizikal untuk melaksanakan
kerja dengan sepenuh tenaga serta dipupuk dengan kesedaran dalaman,
kesungguhan,disiplin dan visi masa hadapan yang jelas. Ini kerana manusia perlu
dididik supaya mempunyai nilai dan harga diri, kepercayaan diri dan keutuhan
diri untuk merangsang masa hadapan yang lebih futuristic.
Jelasnya, konsep pembangunan
modal insan di dalam sesebuah organisasi menurut pendekatan Islam mengkehendaki
sesuatu yang hendak dilakukan itu dilakukan dengan penuh ilmu pengetahuan dan kesedaran tanpa
dikongkong oleh anasir-anasir dan pemikiran yang boleh menyekat pembangunan
potensi diri individu dan hendaknya mendapat keberkatan dan hidayah dari allah.
Justeru, ianya
berkehendakkan kepada satu perincian tugas dan tanggungjawab. Oleh itu jelaslah
pembangunan modal insan perlu meliputi kekuatan jasmani dan rohani. Malah modal
insan melalui kekuatan jasmani dan rohani adalah aset terpenting yang harus
dijana sebaik mungkin demi mencapai kehidupan yang harmoni dan aman damai yang
boleh diaplikasikan ke dalam system pentadbiran masyarakat dan Negara.
Pembentukan Modal Insan
Sebagai Pekerja yang Berakhlak mulia memainkan peranan penting dalam kehidupan individu
Muslim. Tanpa akhlak akan pincanglah sebuah kehidupan dan akan hancurlah sesebuah negara. Dewasa ini
pelbagai kejadian yang berlaku ekoran dari kelunturan akhlak di kalangan
individu seperti rasuah, jenayah, bunuh diri, rogol dan sebagainya. Apa yang menyedihkan
ialah kelunturan akhlak yang berlaku di kalangan individu Muslim . Ramai yang
mengakui dirinya sebagai Muslim, tetapi tidak memiliki akhlak sebagaimana
seorang Muslim yang benar-benar menghayati Islam dan panduan yang digariskan dalam al-Qur’an.
Sesebuah negara akan
mencapai kemajuan jika warganegaranya terdiri daripada individu yang berakhlak
luhur. Sebaliknya jika warganegaranya berakhlak buruk, maka rosaklah Negara bangsanya.
Perbuatan atau akhlak yang baik itu bukan sahaja akan
membawa kebahagiaan kepada
orang lain, tetapi juga membahagiakan pelaku itu sendiri. Allah S.W.T. turut
mengasihi dan berserta dengan orang-orang yang melakukan kebaikan. Allah S.W.T. tidak akan mensia-siakan pahala
mereka dan tidak ada balasan yang setimpal dengan kebaikan kecuali kebaikan.
Allah telah menjanjikan
bahawa sesungguhnya perbuatan-perbuatan kebaikan akan menghapus (memakan dosa)
perbuatan-perbuatan kejahatan. Bahkan lagi, amalan akhlak mulia akan menambah
rezeki daripada Allah S.W.T. sebagaimana Allah S.W.T. menjanjikan bahawa sekiranya manusia bersyukur, nescaya Allah
S.W.T. akan tambahkan lagi rezeki dan sebaliknya jika mereka kufur,
sesungguhnya azab Allah S.W.T. sangat pedih.
Pembangunan Modal Insan
Melalui Pendidikan Akhlak Pendidikan
akhlak merupakan wadah penting untuk merungkai permasalahan akhlak individu dan
untuk melahirkan manusia yang baik. Penekanan pendidikan akhlak adalah sangat
penting bagi membangun dan melahirkan insan secara bersepadu dan seimbang demi
merealisasikan fungsi manusia sebagai
hamba dan khalifah Allah di muka bumi.
Pendidikan akhlak Islamiyyah
merupakan satu-satunya cara pendidikan akhlak individu ke arah melahirkan
manusia yang dapat membina masyarakat yang membangun selaras dengan maksud
pembangunan dalam Islam. Melalui pendidikan yang benar dan tepat, akhlak
individu dapat dibentuk dan seterusnya segala kegiatan yang tidak bermoral akan dapat dikawal dan dihapuskan. Akhlak
seseorang tidak bersifat jumud, beku atau statik tetapi berubah melalui
pendidikan, latihan dan disiplin.
Sesetengah mereka bersikap
responsif terhadap pendidikan dan berubah menjadi baik dalam jangka masa yang
singkat. Manakala sesetengah yang lain pula, kekal dalam bentuk yang asal dan
akhlak mereka sukar dibentuk.
Selain itu, pembentukan
insan yang berakhlak mulia merupakan agenda utama dalam sistem pendidikan
negara. Ini jelas dinyatakan dalam 20 falsafah pendidikan
Kebangsaan dengan jelas menyatakan ciri-ciri akhlak mulia iaitu insan yang mempunyai pengetahuan
tentang nilai-nilai baik dan buruk, mempunyai kesedaran tentang kesan daripada perbuatan
baik dan buruk, berkeyakinan terhadap nilai murni, mengamalkan perbuatan yang
baik, menghindari perlakuan yang buruk, menghayati nilai mulia yang merangkumi
nilai-nilai kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan.
Pernyataan insan yang
‘memiliki sahsiah seimbang dan sepadu’
yang dijelaskan dalam huraian Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut antaranya
ialah berkaitan dengan keseimbangan dari segi rohani iaitu :
“Menyedari dan menginsafi
adanya Pencipta, menyedari dan menginsafi tanggungjawab dan penanggungjawab,
menghargai dan mensyukuri pemberian Pencipta, memupuk dan membina disiplin diri
serta membentuk akhlak mulia.
Pendidikan di Malaysia
adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan
untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Pendidikan akhlak merupakan
asas pembinaan minda dan sahsiah
individu ke arah membentuk budi pekerti yang luhur sesuai dengan fitrah
kejadian manusia. Pendidikan akhlak yang benar akan membentuk individu agar
mampu mengendalikan kekuatan diri daripada terdorong ke arah kejahatan. Justeru
terdapat pelbagai perspektif dalam al-Qur’an
yang melibatkan pelaksanaan akhlak dan kepentingan akhlak sama ada
kepada diri, masyarakat, bangsa ataupun negara. Ini kerana kemurniaan akhlak
individu turut mempengaruhi kecemerlangan dan kejatuhan sesuatu tamadun. Individu
Muslim yang berupaya memindahkan pendidikan akhlaknya kepada pembentukan peribadi
mulia dan berbudi pekerti indah akan mampu memberi kesan yang positif terhadap
pembinaan masyarakat dan tamadun manusia.
Mengurus
Modal Insan Secara Holistik dalam Sesebuah Organisasi
Kecemerlangan sesebuah
organisasi adalah bergantung kepada kualiti pekerjanya. Pekerja yang
berkualiti bukan sahaja bergantung
kepada tahap pembelajaran mereka malah lebih penting adalah tahap tahap
pengalaman mereka yang dilalui di dalam pelbagai bidang. Kemahiran dan
pengalaman ini akan melahirkan individu yang mempunyai keyakinan dalam bidang
mereka. Lantaran itu mengurus modal
insan secara holistik adalah perlu dititikberatkan. Perhatian perlu diberikan
kepada kumpulan profesional dan juga pengurusan dalam sesuatu bidang yang merupakan
aset penting dalam sesebuah organisasi. Namun begitu, tumpuan dan perhatian
juga perlulah diberikan kepada kumpulan pertengahan seperti juruteknik,
penyelia, pengatur cara dan sebagainya
dalam organisasi yang sama.
Kebajikan pekerja yang tidak
terjaga akan menyebabkan kumpulan tenaga kerja berpengalaman ini bertindak meninggalkan organisasinya apabila
mendapat peeluang yang lebih baik bagi kerjaya dann masa depannya. Pihak
majikan perlulah memperkenalkan sistem pengurusan yang tidak memandang kepada
kelebihan jawatan ketua.
Ketua hanya dilihat sebagai
satu jawatan dalam pengurusan sahaja. Dari segi pendapatan ia hanya bergantung
kepada pengalaman dan mutu perkhidmatan yang mereka berikan kepada organisasi.
Golongan muda juga perlulah diberikan peluang menjadi ketua kepada kakitangan yang lebih kanan dalam
sesuatu projek. Ini mewujudkan persekitaran yang menggalakan terutamanya
wujudnya kerjasama di kalangan kumpulan yang lebih kanan. Ini pasti dapat
membantu mengurangkan bebanan pengurusan yang dihadapi oleh pengurusan yang lebih kanan.
Oleh itu, bagi menjayakan
pembangunan modal insan maka kita perlu mengubah sistem pengurusan dahulu bagi
mewujudkan suasana yang menggalakkan untuk bekerja. Kebajikan pekerja perlulah dipelihara
untuk memastikan sesebuah organisasi
tersebut berdaya maju dengan para pekerja yang berpengalaman dan komitmen yang
tinggi.
Tegasnya, pengurusan modal
insan yang berkesan dalam sesebuah organisasi perlulah berupaya untuk
melahirkan pekerja yang
baik yang mempunyai
ciri-ciri utama sebagaimana berikut :
1. Keikhlasan dan semangat
Keikhlasan dalam diri untuk
memberi sumbangan yang bermakna .sifat keikhlasan ini kita sendiri yang boleh
mengetahui dan merasainya. Sekiranya keikhlasan wujud, ia sudah tentu akan
dapat menimbulkan semangat juang yang tinggi. Keihlasan bukan terletak pada apa
yang kita cakap atau apa yang kita janji tetapi ianya terserlah melalui
perbuatan dan etika seseorang.
2.
Berorientasikan pelanggan
Pekerja yang berjaya di
dalam sesebuah organisasi mestilah mengutamakan pelanggan. Pelanggan tidak
semestinya orang yang memberi kita
perniagaan bahkan pelajar juga dianggap pelanggan kepada seorang guru. Oleh itu
pekerja yang baik akan sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan
pelanggan. Seorang pekerja yang baik
hendaklah mempunyai pengetahuan dan memahami pelanggannya.
3.
Keupayaan berfikir
Pemimpin yang baik berupaya
untuk berfikir dengan baik. Pemikiran yang baik pula hanya dapat dihasilkan
daripada ilmu dan pengalaman yang dimiliki. Mereka yang tidak berilmu tidak
akan mampu menjadi pemimpin yang baik di dalam dunia moden ini di mana ilmu merupakan
sumber utama bagi kejayaan sesuatu bangsa. Seseorang pemimpin yang baik bukan
sahaja perlu memiliki ilmu itu sendiri malah mereka berupaya menggunakan dan
mengolah maklumat bagi menghasilkan strategi yang baik. Oleh itu kepelbagaian
ilmu seperti memiliki limu dalam bidang kepimpinan, pengurusan, kewangan, strategi organisasi, sumber manusia
dan lain-lain adalah penting dalam membentuk strategi, program, aktiviti dan
lain-lain tugasan. Keupayaan berfikir boleh dipraktikkan dengan memperkayakan
ilmu. Cara yang paling mudah untuk mendapat ilmu adalah dengan membaca.
4.
Keupayaan berkomunikasi
Kepimpinan dalam organisasi
sering didefinisikan sebagai keupayaan seseorang untuk mempengaruhi satu
kumpulan untuk melakukan sesuatu yang lazimnya, tanpanya perkara tersebut tidak
dilakukan atau tidak dilakukan sebaliknya. Ini bermakna pemimpin sebenar
perlulah berupaya untuk memberi nilai tambah kepada organisasi. Ianya juga bererti
melibatkan keupayaan mempengaruhi atau mengorientasikan orang lain untuk
melaksana atau menjaya sesuatu yang dihasrat
oleh 103pemimpin tersebut. Ini bermakna seseorang pemimpin perlu
berupaya untuk berkomunikasi secara
berkesan sama ada secara lisan, penulisan
atau lain-lain. Dalam konteks ini, komunikasi bermakna pemimpin tersebut
berupaya dan senantiasa berkomunikasi
secara berkesan dengan pegawai-pegawai dan pekerja di bawahnya dalam konteks untuk
sama-sama memahami, menghayati dan komited dengan strategi, misi, visi,
matlamat dan wawasan serta aktiviti yang dirancang. Ini juga bererti pemimpin
mestilah selalu berbincang, meminta pandangan, mendengar dan berinteraksi
dengan baik dalam organisasi yang diterajuinya. Dalam hal ini pendekatan turun
padang (management by working around) adalah perlu untuk menjayakan komunikasi
dengan berkesan.
Bentuk-bentuk Kemahiran
Dalam Pembangunan Modal Insan
Setiap pekerja di dalam
sesebuah organisasi perlu mewujudkan suatu persefahaman dan rasa percaya
mempercayai di antara sesama pekerja sama ada peringkat atasan mahu pun
peringkat orang bawahan dengan mengambilkira aspek-aspek positif seperti prihatin,
mengambil berat, mesra, tulen, ikhlas dan menerima. Kebolehan ini memerlukan
beberapa kemahiran tertentu bagi memastikan hubungan yang dibina itu berada
pada tahap yang boleh diterima dalam situasi hubungan sosial biasa.
Antara bentuk kemahiran yang
diperlukan untuk melahirkanModal insan atau pekerja
yang berkualiti dan efisyen ialah:
1.
Kemahiran pekerja menggunakan bentuk-bentuk komunikasi yang sesuai dengan
keadaan orang lain supaya hubungan yang terjalin di antara mereka adalah
hubungan berkesan dan ia dapat membantu tahap kualiti pekerja dalam bidang
pengurusan
2.
Kemahiran kepekaan pekerja terhadap keperluan kemanusiaan yang diperlukan dalam aspek pekerjaan dan tidak tertumpu
kepada orientasi kualiti pengurusan semata-mata.
3.
Kemahiran pekerja untuk membina suasana pengurusan yang lebih harmoni, mesra, mengambil berat,
empati, dan memupuk semangat setiakawan
di kalangan pekerja terhadap pekerja mereka. Elemen-elemen ini penting kerana
organisasi perlu dirasakan oleh pekerja sebagai suatu tempat yang kondusif dan
disukai bagi mencapai matlamat pengurusan yang maksimum.
4.
Kemahiran pekerja sebagai seorang pemudahcara yang berkemahiran dalam hubungan
menolong. Peranan pekerja bukan semata-mata
kepada soal pengurusan kerja pekerjanya sahaja, malah pada ketika tertentu
pekerja juga terbabit dengan urusan yang melibatkan masalah peribadi pekerja
misalnya dalam soal disiplin atau keluarga. Sehubungan itu, pekerja memerlukan
kemahiran untuk membantu menyelesaikan masalah pekerja.
5.
Kemahiran memujuk atau mempengaruhi bagi mendorong perubahan tingkahlaku
terutama tingkahlaku negatif di kalangan
pekerja. Tanpa teknik dan kemahiran interpersonal yang efektif sudah pasti
tugas ini menjadi lebih sukar. Perkara
yang menjadi keutamaan dalam hal ini ialah perubahan tingkahlaku negatif dapat
dilaksanakan manakala hubungan baik dengan pekerja dapat diteruskan. Pengurusan organisasi perlu mengurangkan
jaringan hubungan sosial yang tidak baik di antara pekerja dan pekerja.
6.
Kemahiran psikologi merupakan satu kemahiran yang boleh membantu individu untuk
mendapat keseimbangan dari segi intelektual,
fizikal, emosi dan kerohanian. Ini adalah kerana psikologi merupakan ilmu sains
mengenai tingkahlaku manusia dan proses memahami perkembangan kognitif serta afektif seseorang
individu.
Melalui
pendekatan psikologi, seseorang individu mampu diterapkan dengan nilai-nilai
murni dalam kehidupan, kebolehan untuk berfikir dan menyelesaikan masalah
secara kritis dan kreatif. Kemahiran ini mampu mendidik individu agar bijak
untuk mengendalikan tingkahlaku dengan baik seterusnya dapat memberi kesan yang
positif dalam sosialisasi sehari-hari. Ia juga mampu untuk memimpin
individu
ke arah mengenali diri sendiri dengan lebih baik, terutamanya dari aspek
emosi.
7.
Kemahiran melayan bermaksud memberi tumpuan dan perhatian yang sepenuhnya
kepada orang yang dilayan. Kemahiran ini termasuk memberi perhatian terhadap
aspek fizikal, observasi atau melakukan pemerhatian terhadap perasaan,
pemikiran dan tindakan serta mendengar dengan baik.
8.
Kemahiran mendengar merujuk kepda keupayaan untuk menangkap dan memahami mesej-mesej
komunikasi orang lain yang disampaikan secara lisan. Setiap pekerja harus mendengar dengan aktif
bukan mendengar secara pasif. Aktif mendengar bermaksud kebolehan untuk
mentafsir maklumat yang didengar, kemudian melakukan penilaian terhadap
maklumat yang diterima tanpa menghukum seterusnya memberi maklum balas yang
berpatutan terhadap maklumat tersebut.
9.
Kemahiran Memberi dan Menerima Maklum Balas juga amat penting dalam mewujudkan
hubungan yang berkesan di antara pekerja dalam sesebuah organisasi. Dalam
hubungan berkesan, maklum balas biasanya berlaku daripada seorang pekerja
kepada orang bawahan hasil pemerhatiannya terhadap sebarang tingkahlaku yang ditunjukkan dalam pengurusan organisasi. Maklum balas
yang diberikan hendaklah merangkumi kedua-dua aspek negatif dan positif
yang
ada pada diri pekerja.
Kepentingan
Pembangunan Modal Insan Bersepadu
Sistem pengurusan secara
Islam adalah bersifat komprehensif dan berteraskan kepada falsafah tauhid dan
berasaskan ilmu wahyu iaitu al-Qur’an, al-Hadith dan amalan ulama-ulama silam.
Oleh itu pembangunan modal insan bersepadu adalah amat penting dalam konteks
pengurusan Islam. Dalam sistem ini, segala proses pembuatan keputusan,
perancangan, pengawalan, pelaksanaan projek, perhubungan dan komunikasi,
tanggungjawab di antara majikan dan pekerja, etika kerja dan aspek-aspek lain
yang berkaitan dengan pengurusan adalah berpandukan kepada prinsip-prinsip
pengurusan Islam yang telah digariskan oleh ajaran Islam.
Walau bagaimanapun,
pengurusan Islam tidak menolak pengurusan barat
seratus peratus. Sistem integratif amat penting dalam membangun modal
insan. Ia seharusnya mengambilkira faktor bermanfaat daripada luar lingkungan sama ada
dari Barat atau Timur boleh dikembangkan sebagai pelengkap asas yang memberi
tumpuan kepada pembangunan akliah sains dan teknologi serta pembangunan akhlak
insan.
Pengurusan dalam Islam amat
menekankan tentang aspek pengurusan kerja berkualiti dan pembangunan modal
insan secara terancang. Ianya telah dibincangkan sejak wujudnya dan
terbinanya sejarah tamadun manusia.
Pekerja ini dilantik dan
mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada pengikut masing-masing. Corak
pengurusan berasaskan kekuatan modal insan ini telah dipraktikkan sehingga kini
dan ianya mempunyai persamaan dengan corak pengurusan sekarang yang menekankan
kepada konsep disentralisasi dan empowerment kepadab subordinates yang dipilih
dan dilantik oleh pihak pengurusan. Rasulullah
S.A.W. sendiri bagi orang Islam adalah model pekerja yang berwawasan dalam konteks pengurusan
Islam yang sebenar. Baginda telah mempelopori sistem pengurusan Islam
pada zaman awal Islam lagi, melalui praktik-praktik kepimpinan dalam pengurusan
organisasi dan negara.
Fungsi-fungsi pengurusan
barat seperti perancangan (plan), pengorganisasian (organize), pengawalan (control),
penstafan (recruitment), kepimpinan (leadership) dan pelaksanaan (execute)
telahpun dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W. dalam mengurus modal insan iaitu
pengikut-pengikutnya semasa penghijrahan baginda dari Mekah ke Madinah dan juga
dalam usaha baginda menyebarkan agama Islam di muka bumi ini.
Apa yang ingin ditegaskan,
seorang pekerja organisasi yang baik akan sentiasa berusaha untuk menambah baik
pencapaian organisasi dengan penuh komitmen dan semangat. Justeru itu, pekerja yang
baik akan menetapkan objektif-objektif yang beliau percaya sepenuhnya akan
dapat memberi kesan positif kepada
organisasi dalam suasana kerja yang penuh bersemangat dan ceria. Ini
bererti kepimpinan yang berkesan merupakan agen perubah kepada organisasi.
Mereka ini akan sentiasa berusaha untuk menambahbaik organisasi. Dengan kata lain, ciri utama pekerja yang baik
ialah mengetahui dan menetapkan halatuju organisasi dari segi visi dan misi
serta objektif yang jelas yang hendak dicapai. Malah pekerja juga
bertanggungjawab dalam mengawalselia perancangan dan mengatur strategi,
mewujudkan program dan memantau pelaksanaan projek.
Pekerja yang berkesan bukan
sahaja berupaya dalam melaksana perkara yang betul dan dirancang tetapi juga memastikan
pelaksanaannya adalah mengikut jadual dan mencapai objektif dan matlamat dengan
sumber mentah yang boleh digemblengkan.
Seterusnya, budaya kerja cemerlang ialah
budaya kerja murni dan berkualiti yang menjadi amalan kerja bersama,
diperkukuhkan dengan sistem, proses, prosedur, peraturan yang jelas dan mudah dilaksanakan.Ianya
perlu dimulakan oleh peringkat atas pentadbiran organisasi, seterusnya diturun
dan diimplementasikan di kalangan pengurusan eksekutif atau pertengahan dan
seterusnya diamal dan dihayati oleh pekerja bawahan (subordinates).
Dalam hal ini, sesebuah
organisasi perlu sama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam
membangunkan sumber manusia atau modal insan yang berkualiti dan berpengetahuan
tinggi. Ini boleh dilaksanakan dengan cara menyediakan peluang pendidikan yang
terbaik dan secara berterusan kepada golongan pekerja sama ada di peringkat
atasan mahupun peringkat bawahan. Ini kerana sumber manusia berpengetahuan
tinggi itu akan menjadi tunjang kepada organisasi atau industri yang mencatat
pertumbuhan yang pesat.
Kesimpulan
Dalam konteks pengurusan
Islam dalam sesebuah organisasi, modal insan merupakan aset terpenting yang
harus dijana sebaik mungkin demi mencapai al-falah iaitu kejayaan di dunia dan
akhirat. Ini bertepatan dengan pernyataan dan gesaan Allah.
Cabaran sebenar bagi pembangunan modal insan
acuan negara kita adalah untuk
mengurangkan kadar penggangguran serta mampu mencapai tahap ekonomi guna tenaga
penuh dan mampu bekerja ditahap sebenar bagi meningkatkan produktiviti. Bagi mencapai
matlamat ini, negara perlulah menilai penemuan dan menambah nilai kepada semua
aktiviti ekonomi negara. Usaha-usaha mencegah Aliran Keluar Golongan ,mengilap
kepakaran yang ada dan meningkatkan pembinaan jati diri tenaga insan amat
penting dalam melaksanakan semua program pembangunan.
Oleh itu, bagi mencapai
Wawasan Negara Maju menjelang 2020, maka
peranan modal insan perlulah diberikan penekanan dalam melahirkan rakyat yang
mempunyai minda kelas pertama. Ia perlulah digarap sebaik mungkin bagi
mengatasi pelbagai masalah seperti pengangguran, dilema pekerja asing dan
pelbagai lagi yang bakal timbul Hanya
dengan ini matlamat serta segala visi negara dapat dicapai dan kelangsungannya
dapat dijamin supaya ianya boleh dipertingkatkan oleh generasi yang akan
datang.
Tegasnya, pembangunan dan
pengurusan modal insan adalah elemen penting dalam membentuk pengurusan
organisasi yang efisyen dan berkesan dalam konteks pengurusan Islam. Matlamat pembangunan
modal insan ini jika dihayati adalah selaras dengan perjuangan misi Negara
dalam konteks menghadapi cabaran keempat yang ditetapkan dalam wawasan 2020
iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat
yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya
dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh
dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur. Dengan kata lain, untuk mewujudkan
masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan
beretika dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian
dan didokong oleh nilai etika
paling tinggi.
Subscribe to:
Posts (Atom)