Monday, July 11, 2011

Psikologi Bangsa Melayu: Dulu dan Kini – Siri 2

Oleh: A. Amri

Pertembungan Budaya Timur & Barat

Perubahan sikap dari rasa rendah diri dan pemalu kepada sikap yang lebih agresif akibat penindasan penjajah adalah satu transformasi yang normal dan berlaku kepada masyarakat di Negara-negara lain juga. Namun, kebangkitan kali kedua ini berbeza berbanding kebangkitan zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana budaya masyarakat Melayu telah diadun dengan budaya Barat kesan dari penjajahan selama beratus-ratus tahun. Pertembungan budaya masyarakat Melayu dengan kuasa-kuasa Barat telah meninggalkan kesan mendalam terhadap cara hidup dan sistem nilai orang Melayu.

Selama lebih 50 tahun merdeka, identiti Melayu kini lebih parah berbanding sebelum merdeka. Melayu zaman ini telah sedikit sebanyak berubah kepada perwatakan yang lebih destruktif dan mementingkan diri. Saban hari terpampang di surat khabar berita-berita tentang bagaimana orang Melayu memperkosa, merompak dan membunuh. Hampir setiap hari berita sebegini berulang. Orang Melayu yang terkenal dengan sifat kesantunan mereka kian terhakis dalam arus pemodenan. 

Tidak cukup dengan jenayah seks dan keganasan, orang Melayu turut memegang ‘title’ penagih dadah nombor wahid Negara. Menurut Jabatan Statistik Negara, sehingga 2005 penagih Melayu mencatat angka tertinggi iaitu sebanyak 22,344 orang atau 68.1 peratus daripada keseluruhan penagih. Jumlah anak luar nikah yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 30,978 daripadanya adalah di kalangan orang Islam yang rata-rata orang Melayu.

Golongan menengah Melayu pula kian tamak dan tidak tahu prioriti hidup. Yang atas tidak mempedulikan golongan bawah. Ini menyebabkan kemiskinan menjadi masalah utama kepada bangsa Melayu. Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan pada tahu 1971 bagi membantu mengurangkan jurang perbezaan dengan kaum lain, perbezaan jurang kekayaan sesama kelas Melayu pula semakin melebar. Dalam kata lain, orang Melayu sendiri tidak mahu menolong orang Malayu. Kesedaran kian pudar untuk membantu bangsa sendiri. Ini diakui sendiri oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz. Menurut beliau, orang Melayu kini tidak mengamalkan slogan masyarakat penyayang, hatta kepada alam sekitar. Berbeza dengan masyarakat Eropah atau Jepun yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

Dari segi pemikiran pula, secara amnya orang Melayu masih mundur cara berfikirnya berbanding masyarakat di negara-negara maju yang lain. Contohnya, orang Melayu masih berfikiran reaktif dan tidak proaktif. Ertinya kita hanya akan bertindak selepas sesuatu perkara berlaku dan tidak tahu mengambil langkah pre-amptive. Orang Melayu juga tidak berfikiran saintifik dan rasional. Emosi masih dijadikan panduan bertindak. Tidak hairanlah kes mengamuk saban tahun terdiri daripada orang Melayu juga. Kita juga tidak memikirkan tentang orang lain sebagaimana orang jepun. Ungkapan ‘kubur sendiri-sendiri’ memang telah melekat kuat dalam pegangan orang Melayu. 

Orang Melayu kini juga disifatkan sebagai tidak sangup bekerja keras dan tidak bersungguh dalam menuntut ilmu. Mungkin ‘tongkat’ yang sentiasa membantu tuannya selama ini telah menyebabkan kaki tuannya sendiri menjadi lemah. Sama ada orang Melayu memang tidak tahu berdiri dengan dua kakinya sendiri atau orang Melayu suka mengambil jalan selamat, tidak berani mengambil ambil risiko. Sistem meritokrasi yang diperkenalkan oleh kerajaan akan berkesudahan dengan dua kemungkinan: kecemerlangan Melayu atau kejatuhan Melayu.

Gelombang Reformasi

Dalam kemelut sosial dan budaya ini, sekurang-kurangnya kesedaran politik orang Melayu menampakkan peningkatan yang positif. Jika selama ini sebahagian besar masyarakat Melayu menganggap urusan politik terserah kepada orang politik sahaja, kini orang Melayu lebih kritis dan prihatin dengan persoalan kenegaraan. Gelombang reformasi yang dibawa oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim lewat tahun 1998 sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah laku politik bangsa Melayu. Orang Melayu sekali lagi turun beramai-ramai di jalan-jalan utama untuk meluahkan perasaan mereka. Suatu yang hanya terjadi sewaktu sebelum merdeka iaitu ketika orang Melayu menolak cadangan Malayan Union.

Gelombang kesedaran politik ini berkekalan sehingga Pilihanraya Umum Ke-12 baru-baru ini yang menyaksikan lima negeri dikuasai Pakatan Rakyat (PKR-PAS-DAP). Fenomena politik yang belum pernah disaksikan ini melambangkan bahawa orang Melayu dari golongan atasan hinggalah peringkat bawahan telah celik dalam soal politik. Kemenangan Pakatan Rakyat (sebelum ini Barisan Alternatif) di negeri-negeri yang majoriti orang Melayu seperti Kelantan dan Kedah menunjukkan bahawa orang Melayu telah berani mengambil risiko dalam politik.

Kekalahan UMNO yang merupakan parti utama orang Melayu di lima negeri tersebut tidak bermakna kuasa politik orang Melayu sudah susut. Malah, tsunami politik pada Mac 2008 yang lalu membuka jalan kepada kebangkitan Raja-Raja Melayu. Raja-Raja Melayu yang sekian lama mendiamkan diri dari pentas politik tanah air telah membuka mata para ahli politik bahawa titah DiRaja masih berbisa. Ini berlaku di Terengganu, Perak dan Perlis.

Faktor-faktor Perubahan Tingkah Laku

Pemimpin dan cendekiawan Melayu tdak boleh selamanya menyalahkan Barat di atas kebejatan sosial yang melanda. Pembongkaran demi pembongkaran permasalahan yang dihadapi oleh golongan belia Melayu perlu diambil tindakan serius dan segera. Antara faktor dominan yang dikenal pasti mempengaruhi tingkah laku remaja adalah media massa. Pakar perunding psikiatrik kanak-kanak dan remaja, Profesor Dr. Kasmini Kassim mendapati melalui penyelidikan, media mempunyai pengaruh kuat dalam pembentukan sikap ganas remaja yang terjebak dalam salah laku jenayah. Program berbentuk keganasan dan lambakan majalah berunsur lucah di pasaran pastinya merosakkan usaha menyemai nilai-nilai murni dalam diri remaja kita.

Keruntuhan institusi kekeluargaan juga mempunyai impak yang besar dalam pembentukan sistem nilai masyarakat. Rata-rata golongan menengah Melayu yang hidup mewah tidak dapat lagi membezakan antara kasih-sayang dan wang ringgit. Mereka menganggap dengan memberi kemewahan hidup dapat menggantikan kasih sayang. Tanpa disedari mereka sendiri menyemai sifat materialistik dalam diri anak-anak mereka. Ini akhirnya mengundang bencana kerana menurut ahli psikologi, masyarakat yang tidak diberikan kasih-sayang tidak akan tahu memberikan kasih sayang.

Budaya apakah yang telah melanda orang Melayu abad ke-21 ini? Bagaimanakah bentuk masyarakat Melayu 20 tahun dari sekarang? Inilah dilemma dan halangan yang harus difahami dan diatasi oleh pemimpin, cendekiawan dan masyarakat Melayu sekarang. Bangsa Melayu tidak boleh asyik bercakaran sesama sendiri dan membiarkan martabat bangsa berkubur. Pemimpin Melayu harus merenung sejarah dan mengenalpasti faktor utama mengapa bangsa Melayu mundur dan bagaimana ia boleh kembali menyinar. Jika gelombang ketamadunan pertama dan kedua ditunjangi oleh kehadiran Islam, mungkinkah pembentukan personaliti kelas pertama juga perlu kepada kehadiran sinar Islam? Hanya orang Melayu yang dapat menentukan survival bangsanya.

Psikologi Bangsa Melayu: Dulu dan Kini Siri 1

Oleh: A. Amri

Asal Usul Perwatakan Melayu

Apabila berbicara perihal psikologi bangsa Melayu, kita harus membicarakan dua perkara pokok, iaitu identiti asal orang Melayu serta faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukannya, dan faktor-faktor yang telah mengubah atau yang akan mengubah perwatakan bangsa Melayu. Perbincangan ini cuba mengupas pandangan beberapa cendekiawan Melayu berkenaan permasalahan dan cabaran orang Melayu dalam pembentukan personaliti ‘Melayu Kelas Pertama’.

Melayu tradisional adalah satu bangsa yang amat menekankan nilai-nilai sosial. Nilai-nilai ini dipupuk sejak di peringkat kanak-kanak bagi memastikan kelakuannya bersesuaian dengan kehendak masyarakat. Konsep ‘malu’, ‘harga diri’ dan ‘maruah’ mempunyai kepentingan sosial dan nilai-nilai ini dipertahankan habis-habisan.

Orang Melayu dahulu juga dikenali sebagai bangsa yang berbudi bahasa dan hormat menghormati, terutamanya terhadap orang yang lebih tua dan pemimpin mereka. Penekanan terhadap adab dan kesopanan dapat diperhatikan dalam kehidupan beraja. Dalam Sejarah Melayu, dinukilkan betapa pentingnya seorang Sultan atau anak Raja memiliki akhlak yang mulia.
Bakal Sultan dilatih dan dididik agar berketrampilan di mata masyarakat. Di samping meneruskan satu imej sejak turun-temurun, maruah juga dipertaruhkan. Persepsi masyarakat ketika itu, seorang Sultan yang baik adalah Sultan yang mempunyai adab di samping sifat kebijaksanaan.
Budaya dan identiti masyarakat Melayu ketika itu dipengaruhi oleh beberapa faktor, dan yang paling utama adalah kedatangan Islam ke alam Melayu. Kedatangan Islam ke Asia Tenggara pada kurun ke-14 telah membawa perubahan ketara dalam peradaban masyarakat Melayu. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, agama Islam sebenarnya telah mewujudkan identiti bangsa Melayu yang tersendiri.

Meneliti sejarah Kesultanan Melayu Melaka, kita akan mendapati permulaan satu bangsa Melayu yang bertamadun. Bermula dengan Islamnya pemimpin Melayu ketika itu, dan tindakan itu kemudiannya diikuti oleh sekalian rakyat jelata. Orang Melayu juga amat menyanjung dan menghormati golongan alim ulama dan tokoh agama. Guru-guru di zaman awal kemerdekaan dianggap sebagai profesion yang amat mulia dan disanjung tinggi.

Kehalusan budi orang Melayu yang disulam dengan keiklasan iman turut diabadikan di dalam perkataan ‘budiman’ yang mencantumkan makna budi dan iman. Budaya dan tradisi bangsa Melayu bukan sekadar disesuaikan dengan ajaran Islam, bahkan budaya itu sendiri dibina berasaskan nilai-nilai Islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan sistem nilai orang Melayu hampir keseluruhannya dibentuk oleh Islam. 

Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengakui pengaruh Islam terhadap nilai dan etika Melayu melalui buku kontroversi beliau, The Malay Dilemma. Namun, menurutnya, interpretasi yang salah terhadap agama telah menyebabkan orang Melayu terjebak dengan sikap-sikap yang lari daripada landasan agama seperti tidak berani mengambil risiko, tidak tahu merancang dan berpada dengan hidup yang sederhana. Menurutnya lagi, budaya juga merupakan antara sebab orang Melayu kian mundur berbanding bangsa lain. Budaya yang dimaksudkannya ini berpunca daripada faktor persekitaran dan bukan sifat semulajadi orang Melayu.
 
Antara sikap yang diperincikan Tun Dr. Mahathir adalah sikap ‘easy going’ atau sikap ‘tak mengapa’ yang menyebabkan bangsa Melayu terkebelakang dalam bidang perniagaan berbanding bangsa Cina. Sikap ini juga menyebabkannya mudah dieksploitasi dan menyerah kalah. Orang Melayu juga sering mahukan keuntungan segera serta tidak tahu menilai wang. Perkara yang sama telah diungkapkan oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz iaitu orang Melayu hanya tahu sesuatu perkara itu banyak atau sedikit tetapi tidak tahu nilai nombor tersebut.

Dalam buku The Way Forward, Tun Dr. Mahathir telah menyalahkan penjajah di atas sikap negatif orang Melayu. Dasar pecah dan perintah British telah melemahkan masyarakat Melayu dari segenap penjuru. Berbeza pula dengan pandangan Datuk Dr. Hassan Ahmad, bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, yang percaya sikap malas bekerja, suka berpesta dan berpoya-poya orang Melayu adalah ciptaan penjajah Barat yang memandang rendah terhadap masyarakat Melayu atau dalam istilah mereka ‘the natives’ yang merujuk kepada masyarakat yang tidak bertamadun. Persepsi negatif terhadap orang Melayu ini pula terus dipegang oleh orang Melayu sendiri sehingga hari ini.
 
Menurut Dr. Sidek Fadzil, rasa tidak selamat terhadap kuasa Barat turut mendorong orang Melayu menjadi lebih Islamik. Maka sekitar 1950-an muncul nama-nama seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, Pendeta Za’ba dan Profesor Zulkifli Muhammad, cendekiawan Melayu berfahaman Islam moderat yang menyemarakkan kebangkitan semula orang Melayu. Mereka adalah antara tokoh-tokoh orang Melayu yang menentang kehadiran British di Tanah Melayu ketika itu. Kesedaran untuk mengubah nasib bangsa ini sekali lagi disemarakkan oleh sentimen kebangkitan Islam selepas kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniah.

Friday, July 1, 2011

Hala Tuju Pelajar Sekarang: Satu Renungan

Relaxlah Bro, pekena dulu sebatang, kelas lambat lagi, alah, kita yang bayar  yuran, apa nak takut''. Itulah ayat yang saya selalu dengar daripada mulut pelajar-pelajar melayu di sebuah kolej yang agak ternama di Ibu Kota K.Lumpur berhampiran tempat keraja saya.

Kadangkala terfikir juga dibenak  saya kenapa anak melayu terlalu suka berseronok hingga seolah-olah lupa akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai pelajar. Harapan ibubapa mereka adalah untuk melihat anak-anak berjaya sehingga sanggup membelanjakan wang ringgit asalkan kemahuan anak-anak dapat dicapai. Kadangkala golongan pelajar ini langsung tidak mempunyai rasa bersalah ketika ponteng kelas, merokok dan adakalanya berpelukan dengan teman wanitanya. Seolah-olah bagi mereka perbuatan tersebut bukanya satu kesalahan yang besar di zaman moden ini.

Berbalik kepada alam persekolahan dulu dengan zaman sekarang, terlalu banyak jurang perbezaannya. Pada zaman  persekolahan  dulu, kenakalan pelajar juga wujud tetapi tidaklah seteruk zaman sekarang. Kalau pelajar didapati bersalah mereka akan bersedia untuk menerima hukuman terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Di samping itu, rasa hormat kepada guru dan orang tua amat menebal dalam diri pelajar walau senakal manapun. Mereka jarang sekali untuk menunjuk-nunjuk mereka merokok, lumba haram dan sebagainya tetapi pada hari ini rasa malu kepada orang-orang tua atau  orang yang lebih dewasa daripada mereka amat kurang sekali dikalangan pelajar . Apatah lagi kalau individu berkenaan bukanlah dari kalangan keluarga mereka sendiri.

Kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan pada hari ini juga didapati telah mengalami perbezaan yang ketara. Kalau dulu peranan pendidik amat dipandang tinggi oleh masyarakat kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Ini bukan bermaksud untuk mengatakan pendidik sekarang tidak berilmu. Segala tindakan dan keputusan yang dibuat oleh pendidik terhadap pelajar-pelajarnya akan diterima oleh ibubapa atau masyarakat dengan penuh kepercayaan tugas dan peranan pendidik untuk mendidik anak-anak mereka. Tanggungjawab yang diamanahkan kepada golongan pendidik  pada masa dahulu telah digunakan dengan sebaik mungkin dalam memastikan pelajar-pelajarnya mencapai kejayaan atau setidak-tidaknya berjaya  menjadi 'manusia'.  Ini menyebabkan golongan pendidik amat merasai mereka amat dihargai oleh ibu bapa dan masyarakat sendiri.

Kalau kita perhatikan didikan dirumah juga memainkan peranan penting dalam membentuk jatidiri pelajar-pelajar. Kualiti masa bersama anak-anak juga akan membentuk corak perilaku pelajar-pelajar sekarang. Pada masa sekarang perhatian ibubapa terhadap anak-anak semakin berkurangan disebabkan tuntutan hidup mengejar kebendaan dan wang ringgit. Bagi keluarga yang berjaya menguruskan perkara ini tiada masalah bagi mereka. Tapi bagaimana pula bagi keluarga yang tidak mempunyai sistem ekonomi dan nilai keagaaam yang kukuh.

Sebagai contoh, ibubapa saya sendiri juga tidak mempunyai pendidikan formal. Mereka hanya boleh mebaca  saja. Itupun dah  dikira beruntung kerana ramai lagi yang langsung tidak tahu membaca. Saya pula dari dari sekolah rendah  dulu selalu mendapat antara markah yang tertinggi di kalangan rakan-rakan. Ini amat membanggakan ibubapa saya walaupun ianya hanyalah diperingkat sekolah rendah sahaja. Pujian dan harapan yang diberikan oleh ibubapa saya kepada guru amat tinggi hingga pada satu ketika, ayah saya sendiri sanggup menunggu guru yang mengajar saya selama berjam-jam untuk mengucapkan terima kasih kepada guru berkenaan. Ini menunjukkan nilai dan penghormatan masyarakat terhadap peranan guru atau pendidik amat tinggi.

Pada hari ini juga didapati kesedaran yang melampau tentang pentingnya pelajaran  dan sikap berlumba-lumba ibubapa untuk memastikan kejayaan anak-anak hingga kadangkala terpaksa mengorbankan masa remaja dan zaman kanak-kanak. Apa tidaknya, kadangkala zaman kanak-kanak yang sepatutnya seorang kanak-kanak kecapi terpaksa dikorbankan demi mencapai cita-cita ibubapa. Anak-anak seawal darjah satu telahpun dihantar ke kelas-kelas tuisyen bagi memastikan pelajaran anak-anak sentiasa cemerlang. Ini ditambah pula dengan sistem pendidikan sekarang yang lebih berorientasikan pepereksaan  berbanding pembangunan pemikiran dan keagamaan serta sosial pelajar menyebabkan  lahirnya  pelajar  mahupun lulusan universiti sendiri yang tidak  dapat berfikiran secara kreatif  dan kurang peka terhadap masalah persekitaran dan isu-isu semasa. Saya kadangkala juga dilantik menjadi panel penemuduga bagi jawatan dalam agensi kerajaan. Apabila diajukan soalan kepada lepasan universiti sendiri didapati pemikiran  dan  pendapat mereka agak terbatas terutama berkaitan dengan isu-isu semasa yang berlaku dalam negara. Apatah lagi untuk  mengemukakan soalan yang berbentuk pengetahuan am yang rata-rata amat sukar untuk dijawab.

Dalam hal ini  semua pihak termasuk ibubapa, guru-guru, pendidik, ahli masyarakat seharusnya mengambil peranan penting dalam memastikan masalah sosial pelajar-pelajar khususnya golongan bumiputera dapat dibendung dan membantu kerajaan dalam mewujudkan modal insan yang kreatif dan inovatif.

Institusi kekeluargaan dan institusi persekolahan merupakan asas ayang penting dalam membentuk kecemerlangan pelajar-pelajar pada hari ini.  Amanah yang dipikul oleh pihak sekolah  atau institusi pendidikan akan menentukan masa depan pelajar atau remaja terbabit. Sistem pendidikan yang  berorientasikan pepereksaan  sekarang harus dikaji semula bagi menghadapi perkembangan dan cabaran dunia global.

Apabila Gendang Cina Berbunyi

Saya bukanlah jenis racist. Tetapi sejak akhir-akhir ini senario politik dalam negara mendorong  saya untuk sama-sama berkongsi pendapat dalam ruangan ini. Saya sebenarnya mempunyai ramai kawan berbilang bangsa di negara kita ini malah kawan-kawan saya ramainya terdiri daripada bukan melayu berbanding dengan orang-orang melayu sendiri. Bagi saya sepanjang berkawan dengan mereka tiada masalah atau isu-isu sensitif dibangkitkan sebab kami masing-masing memahami budaya dan adat resam masing-masing.

Tetapi  dalam ruangan ini saya ingin membawa persoalan mengenai tajuk saya di atas. Terpulang kepada kita untuk memberi tafsiran mengenai tajuk di atas. Sejak akhir-akhir ini telah ada suara orang-orang bukan melayu secara lantang menentang secara langsung atau tidak langsung mengenai keistimewaan orang melayu dan agama islam di negara kita. Ini ditambah lagi dengan senario politik pada hari ini yang secara terang-terangan  apa yang termaktub dalam perlembagaan negara dipersoalkan . Bermula dengan isu keistimewaan orang-orang melayu sehinggalah kepada permasalahan agama islam mula dibangkitkan oleh orang-orang bukan melayu khususnya yang bukan beragama islam. Kalau sebelum ini tidak pernah kita terdengan orang-orang cina mengambil berat tentang peruntukkan untuk membina masjid tetapi hari ini secara nyata ditentang sehingga dibawa ke dewan yang mulia iaitu di persidangan Parlimen.

Kalau kita perhatikan senario perkembangan ekonomi di kalangan penduduk Malaysia ini, rata-rata  sumber kegiatan ekonomi  sebenarnya  memang dimonopoli oleh orang-orang cina. Tetapi perkara ini jarang sekali ditimbulkan oleh orang-orang melayu kerana bagi orang-orang melayu selagi bangsa lain tidak menindas mereka secara terang-terangan mereka tidak akan cepat untuk melatah kecuali isu-isu sensitif dibangkitkan. Malah dalam bidang perniagaan-perniagaan yang besar  kebanyakkan yang berjaya adalah daripa orang-orang cina. Perkara ini memang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Justeru itu, jangan kerana orang-orang cina menguasi sebahagian besar ekonomi negara, perkara-perkara sensitif orang-orang melayu khususnya islam dipertikaikan. Saya masih ingat semasa zaman remaja dulu, keluarga saya memang mempunyai rakan-rakan daripada kaum lain khususnya orang-orang cina. Tiada masalah bagi kami malah hubungan tersebut amat erat. Di setiap musim perayaan kami akan sentiasa kunjung mengunjungi anta satu sama lain dan tidak wujud sedikitpun rasa sangsi dengan kaum cina ini.

Kedaaan pada hari ini telah berubah. Senario politiklah yang banyak memainkan peranan utama yang merubah keadaan ini. Bagi negeri-negeri yang penduduknya yang ramai di kalangan-kalangan orang-orang cina mula mempertikaikan  hak dan keistimewaan oarang melayu dan kesucian agama islam. Ini jelas berlaku di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan lain-lain negeri yang mempunyai ramai penduduk cina. Cuba kita renungkan kenapa perkara ini jarang dibangkitkan oleh masyarakat cina di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Mungkinkah orang-orang cina di negeri-negeri  tersebut mempunyai hubungan yang harmoni degan orang-orang melayu atau kerana mereka ini mempunyai bilangan yang sedikit saja. Kelantan sebagai contohnya, orang-orang cina jarang sekali dilihat untuk bermusuhan dengan orang-orang melayu malah mereka berkawan rapat samada dari segi persahabatan atau peluang perniagaan. Malah di negeri Kelantan sendiri di lihat kuasa ekonomi orang-orang melayu dan cina adalah seimbang berbanding dengan negeri-negeri lain. Persoalannya mungkinkah disebabkan jumlah orang-orang cina di negeri-negeri tersebut adalah sedikit sehingga mereka tidak begitu berani untuk bersuara atau mungkinkah acuan negeri tersebut adalah berasaskan sifat toleransi antara agama. Persoalan itu mungkin kita sendiri boleh menjawabnya.

Dalam bidang perniagaan ada pepatah menyatakan bahawa  bukan orang-orang cina kalau tidak menipu. Saya tidak  pasti samada benar atau tidak. Tapi kalau difikirkan secara profesional perkara ini adalah retorik semata-mata. Kejayaan orang-orang cina adalah kerana kegigihan dan kekuatan sumber ekonomi dan perasaan kekitaan di kalangan mereka. Cuma kadangkala perasaan sangsi  terhadap orang-orang cina dalam  perniagaan ada juga benarnya. Sebagai contoh yang agak mudah untuk difahami, baru-baru ini saya ke kedai telefon untuk membeli telefon bimbit second hand saja. Ada resit pembeliaan diberi kepada saya. Saya mengambil telefon tersebut dan terus balik ke rumah tanpa memeriksa terlebih dahulu telefon tersebut. Memang silap saya.Sampai di rumah saya cuba untuk menggunakan telefon tersebut tapi malangnya ianya telah rosak. Keesokan harinya saya ke kedai telefon tersebut dan memaklumkan perkara tersebut kepada pemilik kedai tetapi dinafikan  malah pemilik kedai berbangsa cina itu menyatakan bahawa telefon yang saya terima dalam keadaan elok  semasa dibeli. Saya bukannya meminta untuk ganti lain tetapi kalau boleh gantilah yang lain atau baiki kerosakan tersebut. Sebaliknya dengan bahasa yang agak kasar menolak permintaan saya. Saya dengan marahnya menghempas telefon tersebut ke lantai tanpa memikirkan lagi soal kerugiaan dan orang ramai yang lalu lalang. Terdengar juga perkataan orang ramai yang lalu lalang melalui kedai tersebut yang menyebut "hempas je bang kat muka dia orang tu, biar dia orang sedar sikit, nak menipupun janganlah keterlaluan, saya dah dua tiga kali terkena.Teruja dengan kata-kata tersebut memanggil pekerja kedai tersebut dan bertanyakan siapa pemilik kedai dan juga bertanya samada     dia mahu jual atau tidak kedai telefonnya.Saya sanggup membelinya dan kata saya  hari  tu juga saya akan bayar jika beliau setuju walaupun dalam hati kecil mana aku nak cari duit nak membeli kedai telefon tersebut. Nasib baik juga pemilik kedai tidak mahu menjualnya kalau tak susah juga saya. Rasa penyesalan juga ada dalam diri saya disebabkan tindakan tersebut.

Itu merupakan persoalan yang cuba saya bangkitkan untuk renungan bersama. Saya tak nak mengupas dengan panjang lebar isu ini kerana risau juga kalau dilabel sebagai racist khususnya oleh kawan-kawan sendiri. Ini bukan bermakna saya takut. Kalau ikutkan beratus muka surat pun belum tentu cukup masa untuk membicarakan perkara ini.