Wednesday, March 31, 2010

MEMPENGARUHI ORANG BAWAHAN

Ketua ada kuasa memilih atau melantik orang bawahannya. Oleh itu, mereka selalunya yakin mereka ada kuasa ke atas orang yang mereka pilih atau lantik. Jarang sekali terlintas di kepala kita bahawa orang bawahan ada kuasa ke atas ketua mereka.

Sebenarnya orang bawahan mempunyai banyak kuasa ke atas orang atasan mereka. Kuasa mereka sangat besar apabila mereka menggunakan kuasa itu secara berkumpulan. Kuasa-kuasa yang mereka miliki  itu datang daripada sumber:

  • Apabila tugas yang mereka jalankan itu sangat penting kepada prestasi orang atasannya.
  • Apabila orang bawahan itu mempunyai kemahiran yang sukar dicarikan gantinya, atau tidak     dapat    digantikan   dengan cepat.
  • Apabila oran bawahan itu mempunyai ramai sahabat dan penyokong, sehingga sukar bagi kita mengambil tindakan disiplin atau menggantikannya tanpa merosakkan perhubungan dengan pekerja-pekerja lain.
  • Apabila orang bawahan itu memiliki pengetahuan dan  maklumat yang tidak ada pada orang lain. 
Setiap satu daripada faktor di atas sudah cukup untuk membuat orang bawahan menjadi lebih berkuasa daripada orang atasannya. Apabila orang bawahan memiliki gabungan faktor itu, keadaan menjadi lebih serius lagi bagi ketuanya. Ini lebih-lebih lagi apabila ketua itu masih baru lagi dalam jawatannya. Jadi, orang atasan mesti memiliki sumber kuasa yang lebih banyak, iaitu bukan sekadar kuasa rasmi yang ada kepadanya. Jikalau tidak, Ketua tidak ada pengaruh ke atas orang bawahannya. Ada empat tindakan yang apabila dilakukan dapat menambahkan kuasa orang atasan ke atas orang bawahan:
 
  •  Kemahiran dan Keupayaan Interpersonal
Tiap-tiap orang ketua memerlukan kemahiran interpersonal. Antara kemahiran yang sangat  kritikal     kepada kejayaan pemimpin ialah kemahiran mempengaruhi orang lain, keupayaan mengenalpasti konflik dan meleraikannya, kemahariran berkomunikasi secara lisan dan kemahiran mendengar. Tanpa kemahiran itu, mana-mana ketua tidak akan berjaya mengamalkan kuasa yang ada kepadanya ke atas orang bawahan.
  • Mendapatkan dan Mencari Maklumat
Maklumat yang betul dan ilmu pengetahuan adalah sejenis kuasa. Mengikut Professor D.J. Cherington, sebagai ketua, maklumat yang paling penting ialah pengetahuan mendalam mengenai  realiti sosial berkenaan tugas yang mesti dilaksanakan. Antara pengetahuan itu ialah  siapakan orang yang ada kaitan dengan tugas itu; apakah pendapat dan pandangan mereka terhadap tugas tersebut dan bilakah masanya pelbagai pandangan mereka itu saling bertentangan. tanpa mempunyai pengetahuan itu semua, ketua mempunyai risiko membuat keputusan yang salah atau bodoh.
  •  Menjaga Nama Baik
Satu kejayaan akan menghasilkan lebih banyak kejayaan. Kecekapan pekerja tidak cukup untuk menjadikan kita berpengaruh dan berkuasa. Kredibiliti adalah sangat penting. Oleh itu, kemahiran dan nama  baik mesti sama-sama ada kalau kita hendak berkuasa ke atas orang bawahan kita.Supaya mereka mudah dipengaruhi, orang bawahan mesti melihat kita sebagai orang yang ada keupayaan menjadi ketua mereka. jadi kita perlu memiliki nama abaik yang panjang. Rekod kejayaan kita sebagai ketua mesti banyak dan konsisten.  Semakin panjang rekod dan nama baik kita, semakin tinggi kuasa pengaruh kita ke atas orang bawahan.
  • Menjaga Hubungan Baik
Kita selalu silap. Kita sangka, untuk apa pengaruh ke atas orang bawahan, kita mesti menjaga hubungan baik dengan orang bawahan. Menurut Cherrington, anggapan ini silap,a orang bawahan  akan melihat kita sebagai ketua yang cekap dan berkesan hanya apabila kita terbukti mempunyai hubungan yang baik dengan mereka,  dengan orang atasan kita sendiri, dengan orang lain yang diluar kumpulan yang kita pimpin. Jadi kita tidak boleh berkonflik dengan ketua kita sendiri atau bermusuh dengan pihak-pihak lain. Untuk menjaga hubungan baik, kita memerlukan kemahiran menghormati orang lain, kemahiran mengagumi keistimewaan yang ada kepada orang lain dan kemahiran menjalin persahabatan dengan mereka.


 
Tajuk ini saya petik daripada Buku  Siri Komunikasi Utusan, oleh Abdullah Hassan dan Ainon Mohd
yang didapati sesuai untuk tujuan pembacaan dan menambah ilmu pengetahun